Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

19 September 2012

Hudud tak baik buat pembangkang'

Karpal Singh


PETALING JAYA 18 Sept. - Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tetap melaksanakan hudud bakal memberi kesan tidak baik terhadap pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
"Pas akan diberi nasihat secara mendalam agar mematuhi peruntukan Perlembagaan yang telah diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya sebagai reaksi segera kepada pendirian terbaru Nik Abdul Aziz.
Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini melalui laman blognya menegaskan, pelaksanaan hudud tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia diwajibkan di dalam Islam dan hukum tersebut bukan satu pilihan untuk manusia menerima atau menolak.
"Tiada hukum atau undang-undang di dunia ini sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dahulu baru ia dilaksanakan," kata Nik Aziz pada 24 Ogos lalu.

Matkelubi : Apa pulak komen Anwar Ibrahim

Habis Madu sepah Dibuang - DAP


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Sikap berdiam diri DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud oleh Pas dipercayai kerana parti pimpinan Lim Kit Siang itu mahu mengambil jalan paling 'selamat' kerana bimbang kehilangan undi orang Melayu.
Bekas Ketua Cawangan DAP Sg. Pelek, R. Vellasamy mendakwa parti itu berkemungkinan akan bertindak keluar daripada pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum iaitu setelah mendapat undi orang Melayu.
Menurutnya, 'Dinasti Lim' yang diterajui oleh Kit Siang selaku Penasihat DAP dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, gusar untuk mengeluarkan sebarang kenyataan menentang hudud kerana takut kalah pada pilihan raya akan datang.
"Mereka anak beranak cuma ada satu agenda iaitu menang besar pada pilihan raya akan datang tanpa sokongan orang Melayu serta kehilangan beberapa kawasan dengan mudah. Selepas menang nanti, dengan senang hati, mereka akan menggunakan alasan hudud untuk keluar daripada pakatan pembangkang.
"Sehingga itu, mungkin juga Pengerusinya, Karpal Singh akan menjadi 'mangsa' sebagai alternatif untuk terus menentang hudud," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mencabar parti itu untuk keluar daripada pakatan pembangkang seandainya menolak pelaksanaan hukuman hudud oleh Pas.
Vellasamy mendakwa, Karpal akan terus dipergunakan dan dibiarkan berjuang keseorangan sehingga dibenci oleh masyarakat Melayu kerana menentang hudud walaupun majoriti DAP tidak bersetuju dengan hukuman tersebut.
"Walaupun pimpinan tertinggi DAP menyatakan sokongan tidak terhingga kepada Karpal, mereka hanya cakap-cakap kosong sahaja kerana semua takut kepada 'Dinasti Lim.'
"Pemimpin lain dalam DAP mendiamkan diri daripada terus menentang secara terbuka kerana takut akan kehilangan peluang untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti. Adakah golongan ini layak dipanggil pemimpin untuk memimpin negara?
"Karpal disukai oleh segelintir rakyat serta beberapa pemimpin lain kerana lebih telus dan lantang. Adalah sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya Pengerusi ini turut disingkir satu hari nanti kerana kelantangan beliau menyusahkan dinasti itu, " jelasnya.
Beliau menambah, setiap kali dipersoalkan, Kit Siang dengan bijak akan memainkan isu lain bagi terus mengelirukan rakyat.
"Sehingga kini Kit Siang dan Guan Eng hanya mendiamkan diri walaupun didesak berkali-kali untuk mengeluarkan kenyataan. Kita tahu tentang agenda mereka semata-mata untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti," ujarnya.

06 September 2012

Ustaz Ridhuan Tee bantai orang tak sedar diri.

Apabila Niat tidak berniat dengan betul

(Sinar Harian 3 Sept 2012)
Saya tersenyum membaca berita sekumpulan kecil orang India, menamakan diri mereka sebagai Pasukan Tindakan Kebangsaan Hak Orang India atau singkatannya Niat, yang mendesak kerajaan memenuhi tuntutan luar biasanya. Kumpulan ini diketuai seorang India Muslim yang kononnya bergelar Dato’ bersama bekas ketua Majlis Peguam, juga ketua penyokong LGBT. Antara desakan mereka supaya kerajaan supaya melantik Timbalan Perdana Menteri kalangan bangsa India selepas Pilihan  Raya Umum 13 (PRU 13). Banyak lagi tuntutan lain yang tidak perlu disebutkan, seperti membuka sekolah berasrama penuh kepada semua kaum. Lebih lucu lagi mereka mendesak supaya bilangan menteri kabinet India ditambah kepada tiga dan empat timbalan menteri.
Lelucon, mereka juga mahukan timbalan menteri besar India, di beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Selain itu, kerajaan didesak menubuhkan Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Kaum Minoriti.
Persoalan saya, siapa mereka ini yang diberikan publisiti meluas di laman web ultra kiasu? Perlukah kerajaan tunduk kepada nyamuk-nyamuk ini? Buruk sangatkah layanan kerajaan terhadap kaum minoriti? Pesan saya, janganlah bermimpi di siang hari. Kalau boleh, jangan tidurpun.  
Belajarlah dari sejarah. Jika mahu diwujudkan pun jawatan dua atau tiga Timbalan Perdana Menteri, orang yang lebih layak adalah wakil daripada Sabah dan Sarawak, bukannya orang India yang hanya mewakili 7 peratus, mahukan populasi Cina yang lebih besar, 25 peratus. Lagi pula, tidak ada satu penempatanpun (parlimen atau DUN) di negara ini, orang India menjadi majoriti.
Sistem pembahagian jawatan kabinet hari ini sudah cukup baik. Nasib minoriti sentiasa terbela. Malah mereka mendapat lebih dari apa yang sepatutnya. Suara-suara mereka sentiasa didengar kerajaan. Bandingkan sahaja dengan minoriti Islam di tempat atau negara lain. Hak dan suara orang Islam langsung tidak dipedulikan, malah dianiaya, diseksa dan dibunuh dengan kejam.
Kenapa tidak berlaku diskriminasi sedemikian rupa? Jawapannya, kerana Islam tidak membenarkan. Agama Islam anjurkan kita bertoleransi dengan orang lain, walaupun apa jua kedudukan mereka, kecuali kafir harbi. Ajaran Islam telah mengajar orang Melayu (Islam) supaya berlaku adil, yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberi hak kepada yang berhak. Jika ditakdirkan orang Melayu tidak memeluk Islam 600 tahun lalu, apakah akan terjadi kepada kaum minoriti ini? Fikir-fikirkan.
Tinjau-tinjaulah sama nasib umat Islam yang menjadi minoriti di tempat lain seperti Rohingya, Selatan Thai, Selatan Filipina, atau di mana-mana sahaja umat Islam menjadi minoriti. Nasib mereka tidak tentu keruan antara hidup dan mati. Hidup diseksa, mati merana.
Pendek kata, apabila umat Islam diperintah, umat Islam menderita. Manakala, apabila umat Islam memerintah, bukan Islam dan minoriti hidup senang lenang. Hari ini mereka mahukan semua. Apa yang diperolehi oleh orang Islam dan bumiputera, mereka tidak boleh dikecualikan.
Siapakah yang perlu memberikan laluan dan mengorbankan haknya? Sudah tentu yang menjadi mangsa nanti adalah orang Islam. Nak harapkan ultra kiasu, mereka tidak akan mengalah walau seinci.
Sebab itulah sistem pentadbiran dan pengurusan politik di Malaysia nampak pelik. Mari kita lihat antara salah satu kepelikannya. Negara sekecil Malaysia mempunyai saiz kabinet begitu besar. Terdapat 33 menteri penuh, tidak berbaloi dengan saiz dan bilangannya. Negara-negara lain yang saiznya berganda-ganda lebih besar daripada Malaysia, tidak ada bilangan menteri kabinet yang begitu banyak. Ini tidak termasuk beberapa timbalan menteri dan beberapa jawatan khas yang diwujudkan, khusus untuk menjaga kaum tertentu.
Misalnya, Amerika Syarikat, saiz menteri kabinetnya antara 15-23 orang, Australia  21, Japan 19, Britain,  23, Turkey 26, Arab Saudi 23, Thailand 26 dan Singapura 17. Ringkasnya, amat jarang negara yang mempunyai menteri kabinet melebihi 30 orang, hatta negara yang bersaiz begitu besar sekalipun.
Persoalannya, kenapa Malaysia sebagai antara negara-negara kecil di dunia, begitu ramai menteri kabinetnya? Jawapanya tidak lain, meraikan kaum minoriti. Hak minoriti perlu dijaga kerana ia adalah tuntutan Islam.  Pemerintah yang mengamalkan diskriminasi dan penyelewengan, akan dicampakkan ke dalam neraka. Atas dasar inilah kita lihat seolah-olah sistem politik kita agak kelakar, tetapi unik dalam soal menjaga integrasi nasional dan perpaduan.
Lebih bernasib baik lagi, berbanding dengan orang Cina, tidak ada satu kawasan di negara ini yang majoritinya adalah orang India. Orang India tetap diberikan laluan untuk bertanding dalam pilihan raya. Bukti menunjukkan, kemenangan calon India adalah undi ihsan orang Melayu. Ini tidak termasuk perlantikan jawatan senator terhadap mereka yang kalah dan wakil kaumnya. Kenapa dan mengapa, wakil India masih dibenarkan bertanding dalam pilihan raya? Tidakkah lebih baik wakil India dilantik sahaja sebagai senator? Kenapa mesti mempertaruhkan kerusi India kawasan orang Melayu, sehingga akhirnya kerusi tersebut terlepas kepada pembangkang?
Bandingkan dengan Singapura yang mana bilangan Melayu lebih ramai daripada orang India. Sejauhmanakah kepercayaan diberikan kepada orang Melayu dalam kabinet dan jawatan penting kerajaan? Begitu juga minoriti Islam di India, China dan lain-lain.
Nasihat kepada kumpulan Niat yang tidak berniat dengan betul, kalau sudah tidak ada kerja, duduk rumah diam-diam, jangan buat kacau. Malukan minoriti lain sahaja dengan kenyataan lucu tersebut. Cerminlah diri. Ikutlah kepimpinan Mahatma Gandhi, apabila ditanya selaku pemimpin besar dan ulung, yang sepatutnya mendapat layanan kelas pertama, apabila ditanya: “kenapa tidak menaiki keretapi kelas pertama”. Jawab beliau “kerana tidak ada kelas keempat”.
Tidakkah kita sedar apabila saiz kabinet semakin besar, maka, selain daripada pertambahan tenaga kerja, prasarana lain dan bangunan turut bertambah. Pertambahan ini melibatkan perbelanjaan yang begitu besar. Maka tidak hairanlah perbelanjaan begitu tinggi. Sedangkan tugasnya kadangkala bertindan lapis.