Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

15 November 2012

Sultan Pahang dukacita kenyataan Nurul Izzah



Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa kecewa dan dukacitanya terhadap kenyataan seorang pemimpin pembangkang mengenai isu kebebasan beragama rakyat termasuk orang Melayu baru-baru ini.
  
Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal, baginda juga kesal dengan pihak terbabit yang terlalu lantang bercakap mengenai agama tanpa memperhalusi kesannya kepada masyarakat terutama umat Islam.
  
"Sebagai ketua agama Islam dan pemerintah negeri Pahang saya berasa sedih, dukacita (dengan kenyataan itu). Kita tidak boleh terlampau lantang sangat sebut pasal agama ini.
  
"Saya nasihatkan agar rakyat tidak mendengar cakap-cakap sebegitu dan perlu memikirkan perkara itu dengan sehalus-halusnya," titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di sini hari ini.
  
Baginda bertitah sebagai seorang Islam, kenyataan berkaitan agama Islam tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif.
"Tidak semestinya orang yang mahir tentang Islam boleh bercakap mengenai Islam, saya juga mahir dan boleh juga bercakap mengenai Islam tapi kita ada majlis agama Islam, ulama kita semua bijak bistari, sebab itu saya tak berani bercakap," titah baginda.
  
"Saya sayang agama saya. Kita kena sanjung agama kita setinggi-tingginya dan jaga dengan sepenuh hati. Dalam Perlembagaan turut menyebut bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini," titahnya.
  
Pada 3 Nov lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sebagai berkata rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.
  
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.
  
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?', di Subang Jaya pada 3 Nov.
  
Dalam pada itu Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan pihak dan kenyataan sedemikian yang boleh membawa kepada penyelewengan dan merosakkkan akidah umat Islam.
  
"Jangan ikut kehendak pemikiran yang boleh merosakkan akidah...ini salah satu usaha yang dilakukan oleh musuh Islam yang suka hendak menyeleweng akidah umat Islam dengan cara meragukan orang Islam dengan pemikiran yang menyimpang (dari ajaran Islam sebenar)," katanya.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kenyataan Nurul Izzah merupakan titik hitam dalam sejarah negara kerana boleh mencetuskan kecelaruan dan memesongkan akidah umat Islam.
Beliau berkata kenyataan tersebut turut menjerat Pas sebagai rakan sekutu pakatan pembangkang yang terpaksa bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PKR itu meskipun sedar hujahnya terpesong daripada ajaran Islam.
"Saya percaya bahawa secara peribadi ramai pemimpin dan ahli Pas memang tidak bersetuju dengan pandangan Nurul Izzah. Tetapi mereka terjerat, oleh kerana politik mereka sanggup menggadaikan pendapat sebenar yang sepatutnya disuarakan dan mereka tidak ada keberanian untuk suarakan pendapat sendiri," katanya kepada pemberita selepas melawat kelahiran bayi Maal Hijrah, di sini hari ini.
Beliau berkata Wanita Umno juga mendesak pasangan pemimpin parti PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar menyatakan pendirian berhubung kenyataan anak sulung mereka itu.
Selain itu, Wanita Umno juga menyokong penuh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris agar agama Islam tidak boleh dicapur aduk dengan politik kerana boleh mengeliru dan memecah belah masyarakat Melayu.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan