Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

18 November 2014

Pemansuhan Akta Hasutan Tidak Jejas Hak Melayu ?



KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pemansuhan Akta Hasutan 1948 tidak akan menjejas empat perkara sensitif termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Setiausaha Agung Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham) Datuk Dr Denison Jayasooria berkata oleh itu, orang Melayu tidak perlu khuatir kerana empat perkara berkenaan iaitu kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera (Perkara 153), Kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152) dan Hak-Hak Kewarganegaraan (Bahagian III) akan terus terpelihara.

"Bahkan pembentukan akta baharu yang dicadangkan kerajaan seperti Akta Keharmonian Nasional tidak sesekali menyentuh keempat-empat perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Mengenai Akta Hasutan 1948 di Universiti Malaya pada Isnin.

Perbincangan meja bulat itu disertai bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Mohamed Zaman Khan Rahim Khan, Pengerusi Proham Datuk Kuthbul Zaman dan Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Muda Nasional (JPMN) Majlis Peguam Malaysia Syahredzan Johan.

Mengulas gesaan Majlis Perundingan Melayu (MPM) agar pemansuhan atau penambahbaikan Akta Hasutan 1948 dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, Dr Denison yang juga moderator dalam perbincangan itu, berkata ia tidak sepatutnya timbul kerana hanya pindaan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan memerlukan persetujuan majlis berkenaan.

"Mengikut Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, hanya pindaan kepada empat perkara sensitif orang Melayu yang perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja sedangkan Akta Hasutan 1948 hanyalah akta 'biasa' yang hanya digubal di Parlimen," katanya.

Terdahulu, Zaman Khan dalam perbincangan itu sekali lagi menegaskan bahawa Akta Hasutan perlu dikekalkan bagi mengelak mana-mana pihak cuba menyemarakkan sentimen kebencian antara kaum dan agama.

"Saya tidak mahu generasi akan datang membesar dalam persekitaran yang penuh pergaduhan kerana masing-masing terlalu bebas menyuarakan kebencian mereka," katanya.

Kerajaan sebelum ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan