BELUM pun dilaksanakan, Enakmen Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah atau Hukum Hudud Kelantan (HHK) yang diluluskan pada 1993 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali lagi menjadi bahan bertelagah antara parti pembangkang atas masalah prinsip perjuangan yang dipersetujui untuk tidak memperjuangkan usaha menubuhkan negara Islam.
Setelah menang Pilihan Raya Umum 1990, Kelantan menunaikan janjinya dengan menggubal undang-undang itu tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana terlalu banyak kelemahan dan persekitaran yang tidak kondusif.
HHK yang dirangka atas matlamat politik banyak sekali kelemahannya, termasuk tidak memberikan ruang kaedah moden membuktikan sesuatu pertuduhan, mencari saksi yang benar-benar layak dan ketiadaan pengamal undang-undang yang mahir dalam memberi tafsirannya.
Faktor lain penangguhannya, adalah terhalang oleh Akta Mahkamah Syariah dan ditentang oleh sekutunya. DAP tetap tidak berganjak, malah mencabar "langkah mayatnya terlebih dahulu" kerana tetap menganggap Malaysia adalah sebuah negara sekular. Pada 1995, DAP keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) kerana tidak boleh menerima HHK.
Pada 2002, Terengganu juga meluluskan peraturan yang sama dengan nama Enakmen Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas), atau Hukum Hudud Terengganu (HHT) sebagai bukti benar-benar mahu melaksanakan hukum Islam.
Seperti juga HHK, HHT turut dikecam kerana meniru sebahagian Enakmen Jenayah Syariah Selangor, kelemahan menentukan saksi yang layak, keengganan menerima kaedah mendapatkan bukti secara moden dan saintifik, serta matlamatnya yang lebih bersifat politik.
Apabila Pas menerajui pentadbiran Kedah pada 2008, tidak kedengaran akan melaksanakan hukum hudud malah belum pun ada percubaan membawanya ke DUN untuk diluluskan.
Menteri Besar Kedah nampaknya belajar daripada kesilapan dua Menteri Besar, Kelantan pada 1995 dan Terengganu pada 2003 terpaksa melupakan hasrat itu kerana terlalu banyak kelemahan dan ketidakupayaan mengatasi satu lagi undang-undang yang lebih besar, kerana Akta Mahkamah Syariah menjangkau ke seluruh negeri-negeri di Malaysia.
Pada Jun lalu, ketiga parti pembangkang bersetuju untuk tidak membangkitkan cadangan menubuhkan negara Islam dan Pas memberikan komitmen baru dengan menyesuaikannya ke dalam konsep negara berkebajikan.
Perubahan itu memberikan kelegaan kepada DAP dan PKR kerana tidak lagi perlu mengingatkan Pas bahawa tujuan utama perjuangan mereka adalah memenangi PRU ke-13, yang sedang dispekulasi dengan pelbagai tarikh.
Pembangkang semakin kehilangan modal politik, maka pada 21 Ogos lalu salah seorang pemimpin tertingginya yang diberikan gelaran sebagai 'badut politik' menjolok kemarahan orang Melayu dengan menonjolkan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 sebagai wira yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Isu itu sebenarnya adalah escapism Pas untuk menutup kelemahannya dalam menangani beberapa isu berkaitan Islam.
Ini termasuk pemeriksaan ke atas gereja, penjualan arak di kedai runcit, larangan menggunakan pembesar suara sebelum azan subuh, meningkatnya penghidap HIV/AIDS di Kelantan dan Kedah, lanjutan waktu operasi rumah-rumah hiburan kerana tuntutan pelancong, desakan berundur kerana terlalu lama memimpin Kelantan, kronisme pelantikan menantu, kemunculan pemimpin baru bersifat sekular (liberal dan pluralism atau dikenali sebagai Anwarinas), hakisan keyakinan kepada Ketua Pembangkang, politik dinasti, pergeseran "kerajaan perpaduan", janji-janji pilihan raya dan ketidakupayaan menarik kemasukan pelabur.
Isu-isu itu cuba disembunyikan di bawah karpet dan benang merah HHK. Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat berusaha untuk mengalih persepsi umum daripada kecaman mewirakan komunis, manakala Timbalan Presiden Pas pula membantu memesongkan persepsi awam terhadap isu perbicaraan Ketua Pembangkang yang kian terdedah dengan bukti, Anwar pula berjaya memindahkan persepsi masyarakat dengan masalah dalam pentadbiran DAP di Pulau Pinang dan konsep pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz serta kegagalan menterjemahkan secara komprehensif "negara berkebajikan."
Perjuangan Buku Jingga pembangkang juga menimbulkan banyak kekaburan dan kegelisahan masyarakat kerana apa yang dijadikan asasnya, tidak kukuh. Tanpa memikirkan kecukupan sumber, kerangka tindakan, usaha mempromosikan Buku Jingga menerima celaan besar manakala konsep kebebasan yang cuba diterjemahkan tidak boleh diterima dengan baik.
Nik Aziz juga berusaha mengalihkan perhatian masyarakat dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dengan beraninya, iaitu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad di samping mengkaji peraturan dalam Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Dalam pertelagahan HHK, nampaknya DAP sudah jelas pendiriannya dan Nik Aziz masih belum menunjukkan sifat mengalah. Jika DAP tidak bersetuju, parti itu boleh keluar pakatan. Bagi DAP, komen itu tidak ubah seperti "orang tua yang sangat memerlukan perhatian" dan mungkir janji yang hanya terukir tiga bulan lalu.
PKR nampaknya mencari jalan selamat, kerana parti itu amat bergantung kepada sokongan orang Melayu, maka dengan memberikan sokongan kepada HHK, bererti serangan dari dalam Pas tidak akan berlaku. Jika ini dapat dipertahankan, maka penyokong tegar Pas akan memberikan sokongan kepada Anwar untuk terus mencari helah dan memperlambatkan perbicaraan kes "main belakang" yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
Tentunya, untuk melaksanakan HHK itu banyak pindaan diperlu dilaksanakan dengan meletakkan perspektif keilmuan moden dalam menentukan bahan bukti, kerana "video dan gambar asli yang dirakamkan bukanlah besi", walaupun "tidak berperasaan" ia lebih mudah diyakini oleh masyarakat kebanyakan.
Bahan bukti itu bukanlah satu manipulasi untuk kepentingan politik pihak tertentu, ia adalah dokumen yang autentik dan wajib dipertahankan. Meskipun ada teknologi yang boleh mengubahnya, kecekapan dan kemajuan dalam ilmu forensik banyak membantu menyelesaikan sesuatu kes.
Jika HHK terus menolak penggunaan kaedah moden, seperti pengesanan cap cari (biometrik), profil DNA, bahan rakaman (video, audio dan visual) dari kamera litar tertutup, maka tidak ada sebab orang lain tidak boleh mempersoalkan bahan-bahan yang dimuat turun oleh pembangkang menerusi media baru.
Masyarakat pada suatu masa, dalam keadaan tenang akan berfikir sejauh manakah kebenaran yang cuba ditonjolkan oleh seseorang, sedangkan ia adalah sebuah hiper realiti dan imaginasi semata-mata, tidak selamanya manusia boleh ditipu oleh teknik tindanan (superimposed), overlay, spinning, retorik dan potong-tampal. Masyarakat sekarang semakin bijak menilai.
Kalau media arus perdana dilihat sebagai meninggalkan kesan tidak sehaluan kognitif, maka media baru yang digunakan oleh pembangkang memberikan kesan limpahan kognitif. Limpahan kognitif akan menambahkan kekeliruan, bahkan menimbulkan pelbagai masalah dalam membuat keputusan.
Ia seakan-akan hampir sama dengan kebimbangan masyarakat 1970-an dan 1980-an terhadap kesan buruk televisyen ke atas kanak-kanak, kerana imej yang dipaparkan oleh media baru propembangkang terlalu sukar untuk dipisahkan antara yang hak dan yang batil.
Tentunya, jika HHK dilaksanakan juga, maka masyarakat akan boleh menilai apakah hukuman yang sepatutnya diterima oleh pemimpin pembangkang yang melakukan jenayah, termasuk penipuan politik, enggan menyerahkan kereta kerajaan, mengawal peruntukan projek untuk syarikat- yang ada kaitan dengan orang tertentu, bahkan menerima tajaan pihak tertentu untuk mengerjakan haji sekeluarga sedangkan pihak terbabit mempunyai hubungan niaga dengan pemimpin kerajaan, berbohong dan mengelecek harapan rakyat.
Inilah langkah pembetulan yang perlu dilakukan oleh pemimpin Pas sebelum boleh melaksanakan HHK, kerana mana-mana negara yang telah melaksanakannya masih menemui kegagalan. Pemimpin tidak melakukan apa yang diucapkan, bahkan hanya tahu menyalahkan orang lain sedangkan kesalahan sendiri ingin ditutupi.
Tidak ada orang Islam yang boleh menolak hukum hudud, tetapi apa yang ditolak ialah kelemahan-kelemahan yang ada dalam HHK atau HHT, kerana penggubalannya dilaksanakan dalam langkah berundur, tidak mengambil kira kaedah pembuktian dan suasana semasa yang lebih berkesan.
Ini semua boleh dikira sebagai perkara subahat yang menyebabkan pelaksanaan hukum hudud itu sendiri perlu ditangguh dan pernah ditangguh pada zaman pemerintahan Saidina Omar r.a di masa kemarau, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, "Kesilapanku kerana (memaaf) tidak mengambil tindakan lebih aku suka, daripada kesilapanku kerana mengambil tindakan". (Maksud hadis riwayat Tarmizi).
Di manakah boleh kita peroleh saksi yang menepati kriteria itu, sedangkan kerana ketiadaan saksi itulah maka mangsa rogol dan curi tidak akan mengadu dan yang untung ialah penjenayah, proses mengesan aktiviti mereka tidak boleh dibuat berdasarkan petunjuk seperti lakaran wajah, rakaman CCTV, cap jari mahupun DNA, kerana itu semua adalah 'bisu' , 'tidak berperasaan' dan 'besi'.
DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri