SHAH ALAM: Aksi remaja bertudung yang dipeluk oleh artis K-Pop di sebuah konsert baru-baru ini mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Ketua Pembangkang itu membidas tindakan pihak berkuasa agama yang menjalankan penguatkuasaan terpilih.
Malah, Anwar turut mempertikai tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang bersungguh-sungguh untuk mendakwa anak muda sehingga mahu memohon waran tangkap jika tidak menyerah diri."Saya juga menyarankan agar penguatkuasaan terpilih tidak dilaksanakan Jawi dan badan agama lainnya.
"Jangan gejala berpelukan anak muda berpelukan dikejar, tetapi gejala yang sama kalangan penguasa atasan dan artis tidak ditegur," kata Anwar dalam entri terbaru laman sosial Facebooknya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata, tindakan mengugut bukan jalan penyelesaian sehingga menimbulkan rasa takut dan kekeliruan.
"Mengasak mereka dengan ugutan hanya mendatangkan resah dan kekeliruan di kalangan mereka.
"Justeru kebijaksanaan dituntut agar mereka didekati dengan pendekatan psikologi yang bijaksana serta berhemah," katanya.
Video anggota kumpulan B1A4 mencium gadis Melayu ketika membuat persembahan di pentas KL Live pada Sabtu lepas di Jalan Sultan Ismail menjadi "viral" di media sosial.
Ia mengundang kritikan hebat bukan saja daripada rakyat Malaysia bahkan pemimpin negara tidak kira Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Susulan insiden tersebut, Jawi dalam kenyataannya berkata akan mengambil tindakan dengan menyiasat kes tersebut.
Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata, kes itu yang akan dibawa ke mahkamah dan sekiranya dapati bersalah, gadis Melayu itu perlu menghadiri sesi kaunseling bersama Jawi.
Beliau memberikan tempoh seminggu kepada gadis terbabit untuk menyerahkan diri atau waran tangkap dikeluarkan.
Sementara itu, penganjur program tersebut, TGM Events dalam reaksi mereka menegaskan tidak akan memberi maklumat berkaitan gadis Melayu yang terlibat dalam video tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan