Surat terbuka kepada YB Tony Pua
YB Tony Pua,
SAYA menulis warkah ini bagi menjawab kenyataan
saudara yang disiarkan di dalam portal berita themalaysianinsider.com
pada 7 Jun 2013 di mana saudara menuduh bekas Perdana Menteri Malaysia
kelima, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO sebagai paling rasis dalam
negara ini.
Ketika Dr. Mahathir melafazkan sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri
pada 1981, saudara baru seorang budak hingusan berusia 9 tahun.
Jurang intelek antara saudara dan Dr. Mahathir bagaikan langit dengan
bumi dan tidak mungkin saudara atau mana-mana rakyat di negara ini
mampu mencapai ketinggian serta ketajaman pemikiran seperti beliau
walaupun untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Bagi saya dan rakyat Malaysia yang menyanjungi ketokohan dan
kepemimpinan serta sumbangan besar beliau kepada kemajuan dan kestabilan
negara ini, tuduhan saudara umpama tombak berbisa menusuk kalbu
khususnya bagi orang Melayu.
Saudara tentu sedar sejak tertubuhnya Parti Tindakan Demokratik (DAP)
parti ini telah dan masih dianggap sebagai sebuah organisasi politik
yang berasaskan kepada sentimen perkauman tebal, pemikiran rasis dan
sempit yang hanya menggalas kepentingan agenda kaum Cina sahaja, iaitu
bangsa kelahiran saudara.
Berlainan pula dengan UMNO yang lahir di tempat yang mulia dan
disanjung sebagai parti Melayu yang memainkan peranan amat penting
membawa nikmat kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk ibu
bapa, adik beradik dan saudara sendiri.
Parti yang saudara label sebagai 'paling rasis' ini jugalah antara
lain berjaya membangunkan pendidikan di negara ini sehingga saudara
turut menerima tempias nikmatnya berkesempatan menuntut di Universiti
Oxford.
Dr. Mahathir pernah mengatakan orang Melayu mudah lupa tetapi saya
yakin orang seperti saudara juga mudah lupa untuk bersyukur terhadap
segala apa yang saudara dan bangsa saudara perolehi atas perjuangan
ikhlas UMNO sejak merdeka.
Sebelum saya mengemukakan bukti nyata untuk menyanggah tuduhan
melampau dan tidak masuk akal saudara terhadap Dr. Mahathir dan UMNO,
biarlah saya beritahu saudara mengenai beberapa perbuatan dan amalan
orang Cina terhadap bangsa Melayu yang selama ini hanya memendam dan
bersabar di atas diskriminasi yang mereka alami.
Tanya sahaja mana-mana orang Melayu yang membaiki kereta atau
motosikal di bengkel kepunyaan Cina, pasti mereka akan merungut bayaran
yang dikenakan kepada mereka 15 hingga 20 peratus lebih mahal daripada
pelanggan berbangsa Cina.
Tanya pula kepada makcik-makcik Melayu yang membeli-belah di kedai
runcit kepunyaan Cina, mesti mereka akan memberitahu harga yang dicaj
kepada pelanggan Melayu adalah lebih tinggi berbanding bangsa mereka
sendiri.
Begitu juga diskriminasi yang dilalui oleh peniaga-peniaga Melayu
yang ingin mencari peluang pasaran di pasar raya milik Cina. Kerap
barangan mereka dipamerkan hampir dengan setor malah ada juga di tepi
tandas, walhal dari segi kualiti dan harga produk keluaran Melayu
setanding dan kompetitif dengan barangan keluaran syarikat Cina.
Banyak lagi contoh yang ingin saya maklumkan kepada saudara tetapi
cukuplah sekadar untuk membuka mata saudara betapa rasisnya bangsa
saudara. Bagaimana pula diskriminasi syarikat Cina yang hanya mengiklan
jawatan kosong untuk bangsa Cina sahaja?
Malah pekerja Melayu di syarikat Cina juga mendapat gaji yang lebih
rendah walaupun mempunyai kelulusan dan dan jawatan yang sama dengan
rakan sekerja berbangsa Cina.
Apa pula jawapan saudara mengenai budaya penyalahgunaan dadah,
rasuah, aktiviti haram dan maksiat seperti rumah urut, pusat judi, pusat
siber kafe haram, pusat karaoke haram dan sebagainya yang rata-rata
dikendalikan oleh bangsa saudara?
Mungkin dasar Perdana Menteri yang 'amat rasis' ini jugalah yang berjaya meletakkan 29 daripada 40
billionaire dan jutawan berbangsa Cina dalam senarai individu Malaysia paling kaya majalah
Forbes pada tahun 2012.
Semasa DAP, Pas dan PKR menguasai Perak selepas Pilihan Raya Umum
2008, sudikah saudara menjelaskan mengapa antara langkah terawal
kerajaan negeri adalah menutup 700 Tabika Kemas yang memangsakan lebih
13,000 murid dan beratus-ratus guru Kemas yang hampir kesemuanya
berbangsa Melayu?
Begitu juga dengan tindakan kerajaan DAP-Pas-PKR yang sengaja
memperlahankan pembinaan masjid dan sekolah agama baharu sepanjang 11
bulan memerintah Perak sementara sekolah-sekolah swasta Cina bercambah
dengan diberikan tanah manakala kampung-kampung baru diberikan status
kekal.
Ini hanya sekelumit sahaja daripada tindakan-tindakan rasis yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang dikawal oleh DAP.
Akhir sekali, biarlah saya mengingatkan kembali kalimat-kalimat rasis
yang ditujukan kepada orang Melayu oleh penyokong-penyokong parti
saudara dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969. Jika saudara musykil silalah
rujuk kertas putih yang disediakan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)
mengenai tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Dokumen ini ditandatangani Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Datuk Hussain selaku Pengarah MAGERAN.
Menurut laporan ini pada muka surat 33 bab 12, ketika melintas Balai
Polis Brickfields penyokong-penyokong Cina DAP telah melaungkan
kata-kata mencaci, "Apa polis boleh buat? Kita Raja" dan "Buang semua
polis Melayu".
Dalam perarakan DAP meraikan kemenangan mereka di depan Balai Polis
Jalan Travers, sekali lagi penyokong-penyokong Cina DAP mengucapkan
kata-kata kesat dan biadab terhadap orang Melayu seperti, "Mati Melayu,
Sakai pergi masuk hutan!" Berhampiran dengan pondok polis Bukit Bintang,
penyokong-penyokong Cina DAP dan Gerakan (ketika itu pembangkang)
bertempik dengan mengeluarkan kata-kata amat rasis sekali, "Apa ini
Melayu kita negeri dia sudah perintah. Ini negeri bukan Melayu punya."
Saya anjurkan saudara baca sehelai demi sehelai laporan MAGERAN
setebal 104 halaman ini supaya saudara mendapat pencerahan minda dan
kesedaran serta keinsafan siapakah rasis nombor wahid di negara yang
dipanggil Tanah Melayu ini.
Mungkin pahit untuk saudara telan sedikit daripada kebenaran dan
fakta yang saya kemukakan tetapi saya percayakan pepatah Melayu yang
mengatakan mana harimau yang boleh tukar belangnya?
DZULKARNAIN TAIB
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia dan bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130611/re_06/Surat-terbuka-kepada-YB-Tony-Pua#ixzz2Vt9kiJZx
© Utusan Melayu (M) Bhd