KOTA BHARU 28 Nov. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima gaji dua kali ganda lebih tinggi iaitu sehingga 134 peratus daripada yang diterima Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikutan kenaikan terbaharu yang berkuat kuasa 1 Januari depan.
Abdul Khalid akan menerima RM29,250 sebulan sementara Ahmad hanya memperolehi RM12,500 iaitu nilai yang sama sejak 2008 dan Guan Eng pula RM14,175.15.
Gaji yang bakal dinikmati Exco kerajaan negeri Selangor pula adalah 227 peratus atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding yang diterima rakan sejawatan di Kelantan dan Pulau Pinang.
Gaji Exco kerajaan negeri Kelantan sejak lima tahun lalu dan Exco kerajaan Pulau Pinang hanya RM6,109.29 sebulan berbanding yang bakal diterima Exco kerajaan negeri Selangor iaitu RM20,250.
Tangga gaji Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang sebelum ini RM6,109.29 dan dinaikkan sebanyak RM22,500 pada Januari ini juga jauh lebih tinggi berbanding gaji Speaker DUN Kelantan dan Pulau Pinang iaitu masing-masing RM6,109.29.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan pula, mereka hanya memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM8,650 iaitu jauh berbeza dengan gaji yang bakal diterima ADUN Selangor iaitu sebanyak RM11,250.
ADUN Pulau Pinang pula menerima elaun sebanyak RM4,112.79 sebulan
Sementara itu menurut sumber, selain memperolehi gaji bulanan, Menteri Besar Kelantan, Exco dan Speaker DUN Kelantan turut memperolehi pelbagai elaun lain.
Katanya, bagi Menteri Besar, antara elaun yang diterima adalah elaun ADUN, Exco, keraian, khas, kediaman, perjalanan, kakitangan dan isi rumah serta lain-lain membabitkan jumlah kira-kira RM17,000.
"Exco pula menerima elaun yang sama yang jumlahnya sekitar RM11,000 manakala Speaker pula hampir RM10,000. Gaji Timbalan Speaker pula sebanyak RM12,500," katanya.
Sidang DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ADUN berkuat kuasa 1 Januari depan dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 373.3 peratus.