Barisan Nasional (BN) dan semangat bergelar juara adalah satu jalinan yang sememangnya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sejarah membuktikan hakikat ini sejak parti yang dahulunya dikenali Parti Perikatan dipilih membentuk kerajaan apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Dari sudut pembinaan dan kemajuan negara seperti yang dikecapi hari ini misalnya, BN menjuarainya hasil pengorbanan dan permuafakatan UMNO, MCA, MIC serta parti komponen yang lain.
Lebih-lebih lagi dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk yang berbilang bangsa, BN menerusi komponen parti itu juga sejak sekian lama sudah menjuarainya. Pernyataan ini bukan untuk menonjolkan rasa megah, bongkak atau meninggi diri pada BN.
Sebaliknya, ia sekadar makluman bahawa semangat sebagai juara itu sememangnya menjadi teras kepada perjuangan BN selama ini. Pun begitu, barangkali kerana berasa selesa dengan 'gelaran' sebagai sang juara, semangat itu pudar sedikit demi sedikit ketika generasi di dalam BN silih berganti.
Perkara ini berlaku mungkin disebabkan BN merasakan bahawa rakyat akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan BN selama ini tanpa perlu lagi rakyat didekati dalam erti kata sebenar.
Apa yang BN terlupa ialah rakyat sebenarnya tidak lagi mengharap kepada pembangunan materialistik semata-mata. Sementelah, sebahagian besar daripada mereka terutamanya generasi muda hari ini membesar dalam ruang kehidupan yang begitu selesa.
Sebaliknya, aspek 'juara' yang diharapkan rakyat kini memasuki dimensi baru iaitu penekanan terhadap aspek ketelusan dan integriti. Paling penting, sejauh mana kerajaan dapat menyelami permasalahan sebenar yang dihadapi dalam kehidupan seharian masyarakat bawahan.
Di kalangan rakyat juga, mereka tidak melihat sumbangan yang diterima selama ini disalurkan oleh UMNO atau parti komponen di dalam BN. Sebaliknya beranggapan ia dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan di daerah-daerah tertentu.
Tidak dinafikan pegawai daerah itu mewakili kerajaan yang terasnya adalah BN. Tetapi pegawai kerajaan ini tidak bertanding pada pilihan raya. Yang bertanding ialah calon-calon BN. Malangnya kelibat mereka tidak kelihatan melainkan ketika menjelangnya pilihan raya sahaja.
Justeru, bagaimana BN mampu menjadi juara di mata dan hati rakyat? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara pemimpin yang menyedari dimensi baru 'juara' ini apabila mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Beliau turun padang dan bertemu dengan penduduk di Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfields selain meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki transit aliran ringan (LRT) dan melawat stesen bas Puduraya.
Ternyata keprihatinan beliau tidak terhenti setakat itu. Perjuangan untuk menjadi juara di kalangan rakyat kembali disemarakkan dalam teras perjuangan BN. Siapa yang boleh melupakan gema laungan 'juara' yang beberapa kali diulangi oleh Najib ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Apa yang disebutkan oleh Najib itu bukanlah retorik atau kata-kata kosong yang sekadar memancing perhatian rakyat semata-mata. Ia sebaliknya menyebar mesej yang cukup jelas kepada ahli UMNO untuk segera menjadi juara di kalangan rakyat.
Mesej yang serupa juga disampaikan kepada parti komponen BN yang lain dengan matlamat tidak ada sekumpulan kecil rakyat sekali pun yang terkecuali daripada perhatian BN.
Sabtu ini, kesungguhan BN untuk meletakkan diri sebagai juara di hati rakyat akan direalisasikan apabila Program Juara Rakyat dilancarkan secara rasmi. Bertempat di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, Selangor, pelancarannya akan disempurnakan sendiri oleh Najib.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai Program Juara Rakyat itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia merupakan platform kepada pemimpin BN untuk turun padang dan bertemu secara langsung dengan rakyat.
Dalam erti kata yang lain, program ini bertujuan meletakkan UMNO dan parti komponen BN yang lainnya di barisan hadapan dalam mendepani apa jua masalah rakyat.
Beliau menarik perhatian mengenai apa yang disebut sebagai KBSMM (kenduri, bersalin, sakit, malapetaka dan mati) yang mungkin diambil mudah oleh pemimpin. Sedangkan katanya, KBSMM itu adalah perkara yang perlu diberi keutamaan kerana ia sangat dekat dengan hati rakyat.
KBSMM tambah beliau, tidak seperti acara rasmi yang memerlukan protokol tertentu sehingga boleh menjarakkan rakyat dengan pemimpin. Ini secara tidak langsung dapat mengikis tanggapan bahawa UMNO atau parti komponen BN yang lain selama ini bersifat elitis.
''Dalam masa yang sama ia juga mendokong semangat gagasan 1Malaysia yang turut memberi tumpuan kepada agenda 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," katanya.
Sebaik Program Juara Rakyat itu dilancarkan pada 9 Januari ini, kesemua 191 bahagian UMNO akan menjayakannya di peringkat bahagian masing-masing pada skala yang kecil iaitu sekurang-kurangnya selama dua hari satu malam.
Tempoh itu akan diisi dengan pelbagai program berbentuk hebahan dan aktiviti yang bersesuaian mengikut tema yang ditetapkan setiap bulan. Selain UMNO yang merupakan teras program ini, penganjurannya juga akan mendapat kerjasama daripada parti komponen lain atas semangat 1Malaysia.
"Bagi memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat daripada program itu pula, ia akan diadakan secara bergilir mengikut zon peti undi. Ini juga bagi memastikan tiada yang tercicir dalam menyuarakan masalah mereka secara terus kepada pemimpin-pemimpin BN," kata beliau.
Jika dilihat daripada kesungguhan BN untuk menjadi juara di kalangan rakyat menerusi program ini, tidak keterlaluan jika dikatakan ia boleh merubah pandangan segelintir rakyat yang begitu prejudis dengan perjuangan BN membela nasib rakyat.
Mat Kelubi kata ;
Orang yang buta sejarah n tak pandai bersyukur je yang tak tau apa pergorbanan BN.
Mat Kelubi, sejauh mana awak bersyukur ?........
BalasPadamApa yang awak buat untuk kerajaan UMNO ?