Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

09 Januari 2014

Comango tidak berdaftar - KDN



KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) sebagai gabungan pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Khalid Shariff berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan semakan rekod oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau memberitahu, sebahagian besar daripada 54 pertubuhan yang menganggotai gabungan itu merupakan pertubuhan bukan berasaskan Islam dan hanya 15 sahaja yang berdaftar dengan ROS.
"Setiap pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah di dalam negara ini hendaklah berdaftar dengan ROS seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.
"Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan seksyen tersebut boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41(1)(b) akta tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Comango yang disenaraikan Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 ialah SIS Forum (Malaysia) Bhd. (SIS), Amnesty International Malaysia, Persekutuan Kristian Malaysia, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Seksualiti Merdeka, Persatuan Guru-guru Tadika Semenanjung Malaysia (PGGT), Rainbow Genders Society, Tenaganita dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM).
Comango merupakan gabungan NGO di negara ini yang menghantar laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan semakan berkala sejagat (UPR) yang berlangsung di Geneva, Switzerland setiap empat tahun sekali mulai 2009.
Matlamat pertubuhan berkenaan antara lain adalah memperjuangkan hak yang menyeleweng daripada ajaran Islam iaitu orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI) merangkumi hak-hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks serta bukan heteroseksual (LGBTIQ).
Sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan Comango pada pusingan kedua UPR ke atas Malaysia pada 24 Oktober lalu adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
Pada sesi UPR itu, Comango turut mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.
Gabungan itu turut menuntut undang-undang jenayah syariah dihapuskan, memberi persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri dan usaha berdakwah kepada masyarakat Orang Asli serta mendesak kerajaan menarik balik pengharaman buku terjemahan Allah, Kebebasan dan Cinta, karya Irshad Manji.

07 Januari 2014

Penyokong pembangkang desak EXCO agama Selangor letak jawatan

Sokong JAIS: Sallehin Mukhyi Patut Letak Jawatan Atau Dipecat

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Kerajaan Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi ternyata tidak membantu Pakatan Rakyat dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), apabila buat kenyataan terbuka menyokong tindakan tersebut.
Kononnya serbuan itu mengikut SOP (Standard Operation Procedure) yang telah ditetapkan.
Apa yang disebutkan Sallehin ini ternyata bercanggah dengan pendirian rasmi Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor sendiri yang menolak sekeras-kerasnya serbuan dan rampasan oleh JAIS tersebut.
Tambah memeritkan kenyataan ini dibuat dengan kedudukkannya sebagai Exco, sama dengan kenyataan rasmi kerajaan negeri, dan ini tidak boleh diterima sama sekali.
Pakatan Rakyat telah bersetuju bahawa serbuan itu gopoh dan tidak berlandaskan prinsip permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.  Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dah sebutkan dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Jadi kenapa Sallehin pulak buat kenyataan bercanggah?
Maka itu Pakatan Rakyat telah menggerakkan jentera media sosial kita di seluruh negara untuk mendesak penggunduran Sallehin sebagai Exco kerajaan negeri Selangor.
Dari saat artikel ini ditulis, semua facebooker dan pengikut Twitter Pakatan Rakyat akan sepakat dan satu hati mendesak perletakkan jawatan Sallehin atas kenyataannya yang dibuat sebentar tadi.
Melainkan ada bukti menunjukkan kenyataan Sallehin itu telah dimanipulasi media, selagi itu desakan untuk melihat pengunduran Sallehin, tidak akan berhenti.
Kalau Sallehin nak jadi 'hero' seperti mana Datuk Dr Hassan Ali sebelum ini, maka dia silap besarlah.  Lihat saja di mana Hassan Ali sekarang, sekadar melukut di tepi gantang, tak siapa yang nak pedulikan.
Dalam masa yang sama, aku lihat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga ada saham dalam isu ini.  Patutnya dari awal lagi Khalid tak seharusnya lantik seorang wakil rakyat PAS menjaga portfolio berkaitan agama Islam di negeri tersebut.
Jawatan itu patut diserahkan kepada wakil PKR, atau paling tidak, Khalid sendiri terus memegang jawatan tersebut seperti sebelum PRU13.
Tidaklah semua masalah ini berlaku.
Apa sekalipun, Sallehin ada 48 jam untuk meletakkan jawatan, jika tidak, Khalid seharusnya tahu apa yang nak dibuat.