Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

31 Oktober 2011

Pas tidak bersedia laksana hudud

Setiap kali nak pilihanraya setiap kali la juga Pas memainkan isu Hudud.Tetapi sehingga kini sejak diluluskan pada tahun 1993, pelaksanaannya masih belum dilakukan. Jenayah semakin parah di Kelantan.Apakah ini hanya sekadar untuk meraih sokongan politik sahaja atau sememangnya mahu melaksanakan perintah Allah.. Tepuk dada tanya iman anda

Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah bersedia atau membuat perancangan yang teliti untuk melaksanakan hudud di negeri ini biarpun enakmen mengenainya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir 20 tahun dahulu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu hudud ditimbulkan semula oleh Pas kerana pilihan raya umum semakin hampir bagi menarik sokongan rakyat.

Beliau berkata, perancangan yang teliti termasuk penubuhan jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan sepatutnya dibuat lebih awal sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu melaksanakannya.

"Untuk laksanakan hudud bukan perkara kecil, amat penting perlu ada perancangan dan kerja yang teratur, bukan hanya bercakap sejak 20 tahun lalu tanpa sebarang tindakan.

"Hari ini baru hendak tubuh jawatankuasa teknikal hudud kerana pilihan raya semakin hampir, jika Pas benar ikhlas, persedian untuk laksanakan hudud dibuat sejak bertahun-tahun dahulu,"

Kesungguhan kerajaan Pas Kelantan melaksanakan hukum hudud terus menjadi tanda tanya apabila Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengakui pelaksanaannya bukan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal pelaksana hudud yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Isnin lalu.

Kerajaan Pas Kelantan juga dilihat tidak serius dalam isu berkenaan apabila dimaklumkan jawatankuasa itu yang hanya berperanan untuk mengumpulkan maklumat, belum lagi bermesyuarat kerana surat pelantikan ahli-ahlinya masih belum diserahkan.

Ahmad bagaimanapun turut mengakui bahawa pelaksanaan hudud di negeri ini juga bergantung kepada maklum balas yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan kepada kerajaan negeri kelak.

“Bukan-bukan (pelaksanaan bukan diputuskan oleh jawatankuasa). Dari segi kanun dah lengkap dah, tak timbul masalah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. KLIK

28 Oktober 2011

Muslihat desak Pahang bayar tuntutan balak

MUSLIHAT semata-mata! Itu yang boleh dikatakan tentang desakan sebuah syarikat pembalakan terhadap kerajaan negeri Pahang agar menjelaskan segera tuntutan RM37.13 juta yang berkaitan dengan usaha mengeluarkan saki-baki hutan dari kawasan 10,000 ekar di Mukim Bebar, Pekan.

Ini kerana beberapa proses perundangan berkaitan dengan tuntutan itu belum lagi muktamad serta satu kes lagi yang melibatkan tuntutan oleh kerajaan negeri terhadap syarikat yang sama bagi mengetepikan penghakiman RM37.13 juta itu, yang perbicaraannya ditetapkan pada Januari 2012, di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Tetapi, pengarah-pengarah syarikat ini dan disokong oleh beberapa pemimpin parti pembangkang cuba mewujudkan gambaran yang salah bahawa kerajaan negeri ingkar keputusan mahkamah dan melabel dengan teruk sekali kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bagi menyokong gambaran salah ini, pelbagai usaha dilakukan. Terbaru, menganjurkan 'mogok lapar berganti-ganti' (minum boleh pula!) oleh 10 ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan di depan sebuah kuil di Segambut, Kuala Lumpur.

Semasa meninjau mogok lapar ini, seorang daripada pemimpin parti pembangkang yang juga ahli Parlimen di Selangor dilaporkan berkata, "Kerajaan negeri Pahang tidak hormat kepada undang-undang. Mahkamah telah pun membuat keputusan, janganlah mengaburi pihak awam. Bagi sebuah kerajaan negeri tidak mengendahkan langsung keputusan mahkamah… ia sama ada bangkrap atau terdiri daripada sekelompok samseng".

Demi meraih simpati umum, seorang lagi daripada 10 yang mogok lapar itu berjanji untuk menderma sekurang-kurangnya RM3 juta kepada badan-badan kebajikan jika kerajaan negeri Pahang membuat bayaran ke atas tuntutan tersebut.

Inilah tohmahan-tohmahan bagi menunjukkan keburukan kerajaan negeri Pahang. Sedangkan, mereka tahu, proses perundangan belum terhenti lagi. Betul, bahawa Mahkamah Tinggi Kuantan sudah memutuskan pada 25 Mei 2007 tentang pembayaran RM37.13 juta, dengan faedah lapan (8) peratus setahun berkuatkuasa mulai 31 Disember, 2000.

Bagaimanapun selepas itu, proses perundangan terus berlaku termasuk rayuan, tuntutan balas-tuntutan balas dan permohonan untuk semakan semula penghakiman oleh kedua-dua pihak, sama ada kerajaan negeri mahupun syarikat pembalakan tersebut .KLIK

27 Oktober 2011

HUDUD PAS : LEPAS KAJI , KAJI TU JE LA

SAYA amat teruja membaca berita utama New Straits Times (NST) semalam (25 Oktober) mengenai langkah kerajaan Pas Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk mengkaji “kemungkinan melaksanakan” Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, atau hukum hudud di negeri itu. Jawatankuasa itu terdiri daripada panel 19 anggota.

Saya juga cukup teruja kerana selepas Nik Aziz Nik Mat berhempas pulas membangkitkan isu itu (terutamanya menjelang ketibaan pilihan raya umum) sejak 1990-an (kira-kira 20 tahun lalu), baru kini ia mahu dikaji?

Sepatutnya ia hanya menunggu untuk pelaksanaan sahaja dan soal teknikal telah diselesaikan sejak belasan tahun malah puluhan tahun dulu lagi.

Saya dan mungkin jutaan lagi rakyat Malaysia amat hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pembangunan Islam Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah itu.

“Ia (panel itu) akan mengkaji kemungkinan melaksanakan enakmen itu, kerana ia mempunyai pandangan perundangan yang ia (hudud) boleh dijalankan, tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Jawatankuasa itu akan melihat sebarang ruang yang ada untuk pelaksanaan. Jika ada, jawatankuasa itu akan membuat syor kepada kerajaan negeri,” kata Amar kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri itu kelmarin.

Sekali lagi saya kebingungan. Mahu kaji lagi? Mahu cari ruang lagi, mahu mencari syor lagi. Saya cukup sedih kerana selepas lebih 20 tahun soal hudud digembar-gemburkan ia masih dalam kajian?

Kajian apa lagi wahai Tuan Guru Nik Aziz? Sepanjang pengalaman saya membuat liputan di Kelantan dulu (semasa Nik Aziz mula menjadi MB), setiap kali isu hudud dibangkitkan, inilah bunyi ceritanya – kaji, kaji, kaji...

Sekali lagi saya cukup bingung dan keliru. Apakah Nik Aziz mahu membingungkan rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam? Sudahlah Tuan Guru. Cukuplah.

Saya, yang mengikuti soal hudud ini sudah terlalu lama merayu Nik Aziz cepat-cepatkanlah melaksanakan hukuman hudud itu di Kelantan dan negeri-negeri pakatan pembangkang lain, terutamanya di Pulau Pinang.

Sudah tentu Lim Guan Eng juga akan mengalu-alukan hukum hudud dilaksanakan di negerinya kerana ia boleh menjamin Pulau Pinang bebas daripada jenayah di negeri itu. Lagipun kan Guan Eng seorang pejuang (advocate) anti jenayah dan moral yang hebat.

Sesiapa yang didapati melanggan GRO rakyat China yang terlalu ramai di negeri itu sekarang akan dihukum rotan di khalayak ramai, di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Dengan sendirinya tugas polis pun akan lebih ringan dan sekali gus rumah-rumah persundalan dan kelab-kelab GRO akan dapat ditutup. Selangor juga, dikhabarkan sedang menghadapi masalah kebanjiran rumah urut yang semakin bercambah. Ia juga boleh dilaksanakan di Selangor.

Wahai Tuan Guru Nik Aziz marilah kita berdoa supaya pelaksanaan hukum hudud dapat dilaksanakan dengan segera di Kelantan.

Lagipun, Kelantan mencatatkan kes HIV/AIDS yang tertinggi di Malaysia, yang kini sudah mula menjangkiti isteri-isteri pasangan masing-masing.

Bagi Karpal Singh, yang pernah berkata “langkah mayat” dia dulu jika undang-undang dan konsep negara Islam itu mahu diadakan juga perlulah akur. Hormatilah sedikit Nik Aziz yang merupakan orang berpengaruh dalam pakatan.

Bagi negeri-negeri lain pula, perkasakanlah isu-isu ekonomi, muamalat dan munakahat kerana ia akan menjamin kesejahteraan hidup umat Islam.

Apabila perut kenyang dan terhindar daripada kemiskinan maka tiadalah wujud jenayah dan kekufuran yang bukan-bukan.

(Baca: Di antara Syariat Islam dan hukum hudud di bawah tulisan ini yang dipetik: Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-isu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya.)

Saya berharap Nik Aziz, ikhlaslah kali ini. Laksanakanlah segera hudud di Kelantan. Jika boleh luluskanlah cepat. Kami semua sudah penat dengan isu yang tidak habis-habis ini. Jangan biarkan orang lain gelak kepada kita.

18 Oktober 2011

Tangani segera murtad,

Isu terbesar yang membelenggu orang Melayu Islam pada masa kini. Murtad! Ramai orang Melayu yang menyedari kesan kehilangan kuasa politik tetapi berapa ramaikah yang benar-benar sedar betapa kehilangan akidah (murtad) memberi kesan yang lebih dahsyat lagi kepada orang Melayu pada masa akan datang.

Orang Melayu yang sememangnya lemah angkara tidak bersatu (kesan perbezaan ideologi politik) akan semakin parah dek kerana isu murtad .

Hang Tuah pernah berkata, Melayu tidak akan hilang di dunia. Tetapi jika Hang Tuah masih hidup dan boleh melihat betapa nazaknya orang Melayu ketika ini mungkin beliau akan mengubah kata-katanya menjadi, "Melayu semakin hilang di dunia".

Masakan tidak, pada zaman Hang Tuah, kegemilangan orang Melayu berpaksikan kekuatan akidah dan harta benda selain kekuasaan politik. Namun, kini agama orang Melayu mudah dipesongkan hanya kerana wang ringgit.

Kekuatan politik apabila disatukan dengan kekuatan akidah dan harta benda, nescaya tiada siapa yang mampu menggugat orang Melayu. Malangnya, akidah orang Melayu tidak sekuat pada masa lalu dan ini menyebabkan penganut agama lain cuba memesongkan agama orang Melayu yang selama ini berteraskan agama yang paling syumul, iaitu Islam.

Orang Melayu tidak boleh lagi hanya melihat sahaja. Jika orang Melayu tidak boleh bersatu atas wadah politik, pegangan akidah Islam adalah penyelesaiannya.

Justeru, apabila ada alim ulamak yang mencadangkan agar Akta Murtad dilaksanakan, tiada sebab orang Melayu Islam tidak bersetuju. Jangan sesekali memperjudikan masa depan akidah generasi akan datang. Ia seharusnya dimulakan oleh generasi belia sekarang.

Belia-belia Melayu sering kali menjadi sasaran penganut agama lain. Disebarkan agama lain kepada belia Melayu kerana mereka mengetahui jika mereka berjaya memesongkan pegangan akidah belia Melayu, maka rosaklah generasi Melayu pada masa akan datang.

Akta Murtad yang disyorkan oleh Mufti Perak merupakan idea ampuh bagi menangani isu murtad di kalangan orang Melayu khususnya golongan belia. Beliau sentiasa istiqamah memperjuangkan isu murtad.

Perbincangan secara mendalam mengenai Akta Murtad di kalangan alim ulama dan para pemimpin politik perlu disegerakan agar segala isu mengenainya diselaraskan di semua peringkat sama ada negeri mahupun persekutuan.

Pemimpin-pemimpin politik tidak kira ideologi perlu sentiasa menyokong Akta Murtad. Tidak membenarkan agama lain disebarkan kepada umat Islam sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan, tetapi apa yang ingin dimasukkan dalam Akta Murtad melibatkan tindakan yang akan diambil kepada kedua-dua pihak (orang Islam yang murtad dan pihak yang memurtadkan orang Islam).

Dengan mengambil tindakan keras kepada mereka, insya-Allah akidah umat Islam akan sentiasa terpelihara.