Akhbar the New Straits Times kelmarin ini melaporkan Hadi Awang mengakui
sukar untuk menepati janji menghapuskan tol dan menurunkan harga kereta
sekiranya PR memerintah. Malah, beliau juga mendedahkan bahawa PR belum
lagi melakukan kajian terperinci mengenainya.
Katanya, “pakatan perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu
sebelum menghapuskan tol bagi mengelakkan bebanan kewangan bagi
menampung kos pengurusan lebuhraya”. Kenyataan itu dibuat di dalam sebuah ceramah di Taman Padang Midin Kuala Terengganu semalam.
Dalam ceramah yang sama, Hadi juga mengakui bahawa negara akan mengalami
kemerosotan ekonomi jika penghapusan duti eksais kereta import
dilakukan secara drastik sepertimana yang termaktub dalam manifesto
pembangkang. Selain itu, Hadi juga mengulangi kenyataannya yang tidak
ingin berebut kerusi Perdana Menteri dan lebih rela menjadi nelayan.
Sebagai ahli politik, Hadi nampaknya sudah cukup berhati-hati dengan
menambah perkataan ‘secara drastik’ di penghujung ayat mengenai
menghapuskan tol dan duti eksais. Namun, drastik atau tidak bukanlah
soal pokok.
Soal pokonya ialah, PR telah membuat janji tanpa terlebih dahulu membuat kajian terperinci.
Ini membuktikan bahawa apa yang dibentangkan dalam janji manifesto
mereka hanyalah ‘cadangan’ bukan sesuatu yang pasti akan atau mampu
dilakukan.
Sebagai contoh, katakan PR menang dalam PRU ini, maka barulah mereka
akan membuat kajian mengenai apa yang mereka janjikan. Dan katakan
kajian tersebut menunjukkan yang ianya tidak mampu dan tidak dapat
dilaksanakan, maka tentulah ia tidak akan dilaksanakan.
Pada ketika itu, akan terduduk dan terngangalah penyokong-penyokong
mereka menelan segala alasan PR tentang kenapa duti eksais dan tol tidak
dapat dihapuskan.
Sikap PR yang berjanji tanpa mengkaji dengan sendirinya membuktikan yang
parti itu tidak punya sifat bertanggungjawab, sekali gus tidak boleh
dipercayai.