Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

15 November 2013

Haron Din gesa pemimpin yang bacul tegur rakan PR disisihkan dari terajui parti.

Perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS diingatkan agar memilih calon yang benar-benar berwibawa serta berintegriti selain berani bersuara 'menegur' komponen Pakatan Rakyat sekiranya dikritik menjelang pemilihan parti 22 November ini.

Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, pemimpin yang dipilih juga harus disenangi rakyat kerana parti itu akan menghadapi cabaran getir terutamanya daripada seteru politiknya.

Tegas beliau, PAS memerlukan pemimpin berwibawa untuk membina semula kekuatan parti dengan mendapatkan sokongan pelbagai bangsa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Oleh itu saya mengharapkan kepimpinan baru yang patut dilihat kesemua perwakilan PAS adalah perlunya satu barisan kepimpinan pusat yang terdiri daripada presiden sehingga keseluruhan anggota yang boleh menangani dan mendepani persoalan-persoalan besar yang timbul terutama sekali oleh parti komponen.

"(Kepimpinan baru) kena berani, boleh buat keputusan, boleh menegur tapi asas yang besar selama-lamamya PAS mesti berada dalam keadaan diterima dalam kesemua lapisan masyarakat bukan sekelompok orang yang kecil sahaja.

"...mesti didokong oleh kesemua bangsa, apa cara pun masih banyak ruang yang boleh kita fikir. Soal Pakatan saya bersetuju dengan dasar Pakatan," katanya dalam temubual eksklusif di kediamannya di Bandar Baru Bangi.

Haron menambah sebagai gabungan dalam sebuah organisasi adalah tidak wajar apabila anggotanya mengkritik pihak yang lain secara terbuka melalui media termasuk dalam konteks Pakatan yang turut dianggotai PKR dan DAP.

Tegas ulama PAS ini, perkara tersebut akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan anggotanya yang akhir memberi kesan negatif terhadap kerjasama yang dijalinkan itu.

"Kalau sekiranya semakin hari semakin timbul keresahan pemimpin dan pengikut dengan adanya kritikan-kritikan dalaman terutamanya sekali bila parti A kritik parti B yang merupakan komponen secara terbuka dan umum.

"Kemudian parti B kritik parti C secara terbuka dan umum, itu adalah satu tindakan yang kurang sihat," katanya.

Justeru beliau menasihatkan agar perkara tersebut dihentikan dan segala masalah yang timbul harus diselesaikan secara dalaman dan bukan dihebahkan kepada pihak luar.

"Saya menyeru hal seperti ini hendaklah dihentikan dan diselesaikan secara dalaman, maksud saya apa yang tak puas hati dalam perjuangan bersama ini bukan akhbar (media) tempat meluahkan pandangan tapi dalam perjumpaan dalaman atau meja rundingan.

"Itu tempatnya untuk berhempas-pulas membuat keputusan, kalau tak boleh bekerjasama itu juga tempat buat keputusan," katanya.  SUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan