SEGALA puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhamad SAW.
Alhamdulillah,
beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya,
beta dapat hadir ke majlis perasmian masjid dan berjumpa serta berbuka
puasa dan menunaikan solat tarawih dengan rakyat bela di daerah ini.
Beta
bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negara Malaysia dan negeri
Selangor yang kita kasihi ini adalah dalam keadaan aman dan tidak ada
kekacauan dan rusuhan, yang mana umat Islam dapat menjalankan ibadah
puasa pada bulan Ramadan yang mulia ini dengan aman dan tenteram.
Allah
SWT telah menyuruh umat Islam menjalankan kewajipan berpuasa di bulan
Ramadan yang mulia ini dan beramal serta menjalankan kerja-kerja mulia
serta menghindari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan agama
Islam.
Beta
juga bersyukur pada hari ini kita dapat bersama-sama menyambut Nuzul
Quran yang mana ini adalah satu peristiwa agung yang perlu diingati
iaitu turunnya al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izah di langit dunia
dan juga turunnya ayat pertama daripada surah Al-Alaq yang diturunkan
dari Baitul Izah kepada Nabi Muhammad SAW, melalui malaikat Jibril dan
ia mengambil masa selama 23 tahun untuk menyempurnakan al-Quran yang
menjadi panduan kepada umat Islam untuk menjalankan kehidupan didunia
ini dan beribadah kepada Allah.
Sempena
bulan Ramadan yang mulia ini, beta mengingatkan supaya orang Melayu
umat Islam janganlah berbalah antara satu sama lain sebaliknya orang
Melayu umat Islam, haruslah bersatu padu dan bermuafakat.
Orang
Melayu umat Islam jangan fitnah-memfitnah, mencaci dan menuduh antara
satu sama lain serta membuat cerita-cerita yang tidak benar hingga
menimbulkan perasaan syak wasangka dan seterusnya akan mencetuskan
permusuhan antara sesama orang Melayu umat Islam dan akan mengakibatkan
kerugian kepada generasi kita di masa depan.
Perpecahan
orang Melayu akan merugikan orang Melayu sendiri, baik hari ini ataupun
untuk generasi akan datang. Orang Melayu mestilah bersatu padu dan
mengukuhkan bangsa Melayu serta agama Islam agar tidak diperlekehkan.
Beta
percaya seandainya orang Melayu tidak mahu bersatu padu, nescaya di
satu hari nanti tragedi akan menimpa orang Melayu yang mana orang Melayu
akan menjadi satu bangsa yang kian pupus dan tenggelam ditelan zaman
serta akhirnya akan hanya tinggal nama semata-mata.
Adakah
kita mahu tragedi sebegini berlaku kepada orang Melayu yang beragama
Islam di tanah air kita sendiri? Fikirkanlah siapa yang akan untung dan
siapa yang akan rugi.
Selain
itu, beta juga amat dukacita dengan golongan ekstremis agama,
liberalisasi agama dan juga pluralisme agama yang sedang berleluasa di
negara kita.
Ekstremis
agama, liberalisasi agama dan pluralisme agama bukan sahaja akan
merosakkan akidah umat Islam, malah akan menghancurkan umat Islam di
suatu masa nanti.
Ekstremis
agama yang beta maksudkan adalah golongan ekstremis yang sering
mencetuskan keganasan tanpa batasan, manakala liberalisasi agama adalah
golongan yang mengamalkan budaya seperti LGBT yang secara
terang-terangan melanggar akidah umat Islam.
Pluralisme
agama pula adalah mereka yang berpendapat semua agama termasuk agama
Islam adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan
berbanding agama-agama lain.
Walau
bagaimanapun kita perlu akur bahawa agama Islam mempunyai kedudukan
yang lebih tinggi kerana ia adalah Agama Persekutuan sebagaimana yang
termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh
itu, semua golongan ini perlu dibendung agar akidah umat Islam
terpelihara dan dilindungi. Beta mahu rakyat negeri Selangor mengamalkan
agama Islam yang "moderate" mengikut fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.
Dalam
pada itu, beta merasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik dan
golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri, tidak melindungi
kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu.
Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.
Ada
di kalangan mereka ini telah dengan berani mempersoalkan kuasa
institusi agama Islam seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang
selama ini berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir
hal ehwal agama Islam di Selangor.
Beta
merujuk kepada petikan laporan akhbar-akhbar utama tanah air pada 18
Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad telah
mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan mencadangkan kerajaan Pakatan
Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS.
Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.
Khalid
yang bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang menjadi Ahli
Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil segala langkah untuk
melengkapkan diri untuk memahami sejarah negeri Selangor dan mendalami
undang-undang yang terpakai di Selangor terutama Undang-undang Tubuh
Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
Kenyataan
Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang
diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat
dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai Ketua Agama Islam
di Selangor.
Tindakan
Khalid mempersoalkan kuasa MAIS seolah-olah menunjukkan sikap biadab
dan penentangan kepada kuasa beta sebagai Ketua Agama Islam yang
mendapat nasihat dari pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti yang
sedia termaktub di bawah undang-undang.
Ini
bukan kali pertama Khalid telah mempersoalkan tentang isu berkaitan
tentang kuasa eksekutif MAIS dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
Oleh
itu, beta menyeru kepada Khalid agar di masa akan datang beliau
berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan
menunjukkan sikap biadab dan jahil beliau apabila membicarakan isu
berkaitan dengan kuasa beta dan peranan MAIS di dalam menasihati beta
mengenai agama Islam.
Beta
ingin mengambil kesempatan di sini untuk menegaskan bahawa MAIS
sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam
mengamalkan agama mereka.
MAIS
sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka
seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Segala
tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS) adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu
penganut agama lain di dalam menganut agama
Beta
sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama
Islam sebagai modal politik. Kesucian agama Islam perlu sentiasa
dipelihara.
Sebagai
orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam
mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan
perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara.
Di
bulan yang mulia ini juga beta berkenan supaya semua umat Islam di
Selangor ini mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Beta
mengingatkan sekali lagi janganlah dijadikan masjid sebagai gelanggang
untuk berpolitik dan juga tempat mengadakan demonstrasi yang negatif,
baik di dalam atau di kawasan perkarangan masjid.
Masjid
dan surau adalah tempat umat Islam dan orang Melayu beribadat dan
bertemu bagi mengeratkan silaturrahim antara sesama orang Melayu umat
Islam.
Beta
mengakhiri ucapan beta ini dengan mengucapkan selamat berpuasa kepada
seluruh umat Islam, semoga amal ibadah kita diterima dan diberkati Allah
SWT.
Jadikanlah
masjid sebagai tempat yang aman, selesa dan kondusif untuk setiap umat
Islam melakukan ibadah dan mendapat keredaan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan