Perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS diingatkan agar memilih calon yang
benar-benar berwibawa serta berintegriti selain berani bersuara
'menegur' komponen Pakatan Rakyat sekiranya dikritik menjelang pemilihan
parti 22 November ini.
Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, pemimpin yang
dipilih juga harus disenangi rakyat kerana parti itu akan menghadapi
cabaran getir terutamanya daripada seteru politiknya.
Tegas beliau, PAS memerlukan pemimpin berwibawa untuk membina semula
kekuatan parti dengan mendapatkan sokongan pelbagai bangsa sebagai
persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Oleh itu saya mengharapkan kepimpinan baru yang patut dilihat kesemua
perwakilan PAS adalah perlunya satu barisan kepimpinan pusat yang
terdiri daripada presiden sehingga keseluruhan anggota yang boleh
menangani dan mendepani persoalan-persoalan besar yang timbul terutama
sekali oleh parti komponen.
"(Kepimpinan baru) kena berani, boleh buat keputusan, boleh menegur tapi
asas yang besar selama-lamamya PAS mesti berada dalam keadaan diterima
dalam kesemua lapisan masyarakat bukan sekelompok orang yang kecil
sahaja.
"...mesti didokong oleh kesemua bangsa, apa cara pun masih banyak ruang
yang boleh kita fikir. Soal Pakatan saya bersetuju dengan dasar
Pakatan," katanya dalam temubual eksklusif di kediamannya di Bandar Baru
Bangi.
Haron menambah sebagai gabungan dalam sebuah organisasi adalah tidak
wajar apabila anggotanya mengkritik pihak yang lain secara terbuka
melalui media termasuk dalam konteks Pakatan yang turut dianggotai PKR
dan DAP.
Tegas ulama PAS ini, perkara tersebut akan menimbulkan rasa kurang
senang dalam kalangan anggotanya yang akhir memberi kesan negatif
terhadap kerjasama yang dijalinkan itu.
"Kalau sekiranya semakin hari semakin timbul keresahan pemimpin dan
pengikut dengan adanya kritikan-kritikan dalaman terutamanya sekali bila
parti A kritik parti B yang merupakan komponen secara terbuka dan umum.
"Kemudian parti B kritik parti C secara terbuka dan umum, itu adalah satu tindakan yang kurang sihat," katanya.
Justeru beliau menasihatkan agar perkara tersebut dihentikan dan segala
masalah yang timbul harus diselesaikan secara dalaman dan bukan
dihebahkan kepada pihak luar.
"Saya menyeru hal seperti ini hendaklah dihentikan dan diselesaikan
secara dalaman, maksud saya apa yang tak puas hati dalam perjuangan
bersama ini bukan akhbar (media) tempat meluahkan pandangan tapi dalam
perjumpaan dalaman atau meja rundingan.
"Itu tempatnya untuk berhempas-pulas membuat keputusan, kalau tak boleh bekerjasama itu juga tempat buat keputusan," katanya.
SUMBER