Pengikut

wajib tolak

wajib tolak

10 September 2009

Hormati Keputusan Mahkamah, Henti Buat Kecoh

JALAN untuk V Sivakumar kembali menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sudah tertutup. Rumusan ini boleh dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang menetapkan penyingkiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu sebagai Speaker DUN dalam sidang DUN 7 Mei lalu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah.
Malah saman Sivakumar terhadap Speaker DUN, Datuk R Ganesan juga dibatalkan.
Selepas ini Sivakumar dinasihat jangan membuat tuduhan kononnya keputusan mahkamah berat sebelah. Hakikatnya keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Azahar Mohamed adalah betul. Mengikut Perkara 72, Perlembagaan Persekutuan menyatakan urusan persidangan DUN dijalankan secara sah dan tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah. Mengikut Hakim Azahar, sebarang perkara yang dibangkitkan berhubung dengan pemecatan atau pelantikan Speaker dalam sidang DUN perlu dikaji, dibincang dan diselesaikan di dewan berkenaan dan bukannya mahkamah.
Dengan itu, diharapkan Sivakumar menghormati keputusan mahkamah. Hentikan usaha untuk memanggil sidang DUN lagi - yang terang-terang tidak mendapat perkenan Sultan Perak. Paling penting elakkan aktiviti yang dilihat sengaja ingin mencetuskan kekecohan.
Sivakumar perlu terima hakikat beliau bukan lagi Speaker. Jadi beliau dan ADUN pakatan pembangkang usah bertindak memanggil 'sidang DUN' lagi.
Pakatan pembangkang sudah tidak ada hak lagi untuk berbuat demikian kerana mereka sudah hilang majoriti dalam DUN Perak. Perkara ini pun sudah disahkan di mahkamah.
MK menyeru kepada wakil rakyat pakatan pembangkang supaya bersama-sama kerajaan negeri bagi menjayakan agenda berkhidmat untuk rakyat dan bukannya berusaha mewujudkan kekecohan.
Sudah sekian lama negeri Perak berada dalam keadaan tidak stabil. Hormatilah keputusan mahkamah dan beri laluan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan penyokongnya di DUN untuk mengurus dan mentadbir kerajaan negeri.
Jangan diulangi tindakan yang cuba menggugat kelancaran dan kelicinan pentadbiran kerajaan BN di Perak.
Cukuplah tindakan mencari publisiti murahan. Jika Sivakumar dan ADUN pakatan pembangkang masih berkeras untuk menimbulkan kekecohan, maka Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti bertindak tegas.
KDN jangan beri muka lagi terhadap mereka yang tidak menghormati keputusan Raja-raja Melayu dan melanggar undang-undang termasuk ingkar keputusan mahkamah.
Golongan ini tidak patut dibiarkan berterusan memberikan teladan tidak baik kepada rakyat dalam menghormati Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Raja-raja Melayu.
Pada umumnya rakyat Perak sudah bosan dengan kemelut politik negeri itu. Sejak Kerajaan Negeri Perak dipimpin oleh pakatan pembangkang dan kemudian tumbang pada Februari lalu, pelbagai sandiwara ditayangkan jadi tontonan umum.
Sekarang rakyat boleh menilai sendiri sikap DAP, Pas dan PKR terhadap tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.
Adakah rakyat diutamakan atau kegilaan merebut kuasa yang mereka pentingkan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan