Difahamkan minggu depan ialah Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Saya difahamkan satu peristiwa yang cukup signifikan akan berlaku.
Datuk Dr. Hasan Ali akan menjadi satu-satunya, saya ulang satu-satunya, Exco dalam Kerajaan Negeri Selangor yang akan dianugerahkan pingat kebesaran negeri Selangor oleh baginda Al-Sultan. Difahamkan beliau akan dianugerahkan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor.
Jika itu benar, banyak signifikan yang dapat dirungkaikan. Mengapa hanya Dr. Hasan seorang sahaja yang menerimanya? Ramai lagi Exco dari PKR dan tentunya dari DAP yang menguasai sistem kerajaan itu juga patut menerimanya.
Mengapa tidak YB Cik Teresa Kok, YB Encik Ronnie Liu dan lain-lain? Mengapa pula Dr. Hasan, yang sudah pun menerima banyak gelaran?
Beliau pun bukanlah Exco dan ahli politik yang disukai di kalangan rakan-rakannya dalam barisan jemaah majlis mesyuarat itu. Dr. Hasan dikenali sebagai orang dalam Exco yang begitu kontroversi dan kaki kacau. Beliaulah yang membuat bising mengenai usaha sebuah gereja di Damansara yang cuba memurtadkan orang Islam tidak lama dulu.
Beliaulah yang membela Pengarah JAIS, Datuk Khusrin Munawi daripada tentangan pelantikan ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Tentangan itu datangnya daripada Menteri Besar sendiri, para pemimpin DAP dan Anwar Ibrahim.
Malah, banyak kenyataan Dr. Hasan yang bercanggah dengan aspirasi kepemimpinan Kerajaan Selangor pimpinan DAP itu.
Tapi mengapa DYMM Tuanku berkenan dengan Dr. Hasan? Dari sudut hati kecil Tuanku, mungkin baginda mahu Selangor diselamatkankah?
Mungkinkah baginda juga menaruh harapan yang tinggi terhadap keupayaan Dr. Hasan?
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun Sembah Patik Harap Diampun, bukan hasrat patik mahu menarik Tuanku ke dalam kancah politik, tapi sebagai pemerhati dan penganalisis politik, perkara ini tidak boleh lari daripada diperbincangkan.
Faktor Dr. Hasan amat penting sekali. Beliau dipertaruhkan harapan untuk melakukan perubahan. Terlalu banyak rahsia kerajaan Selangor pimpinan DAP yang diketahui oleh Dr. Hasan. Mungkin juga banyak rahsia itu tidak menyenangkan kedudukan orang Melayu dan kesucian umat Islam.
DAP sebenarnya gerun dengan Dr. Hasan. Malah PKR pun pening kepala dengan beliau.
Dr. Hasan, lulusan perancang bandar dari Amerika Syarikat itu bukan calang-calang orang. Seorang sumber memberitahu saya, Tuanku cukup mengiktiraf peranan yang dilakukan oleh Dr. Hasan. Beliau dilihat sebagai faktor penyatuan kepada perpaduan Melayu di Selangor.
Memetik kata-kata Sultan Sharafuddin semasa mencemar duli mengunjungi pejabat Utusan Melayu, yang amat dibenci oleh DAP, kelmarin: ‘‘Beta tidak mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah-belah. Bukan maksud beta orang Melayu itu bersatu untuk berperang dengan bangsa lain.
“Bukan juga bermaksud antara UMNO dan Pas perlu ‘berkahwin’ sebab bukan hak beta untuk mencampuri urusan politik.”
Sesungguhnya amat mendalam dan halus sekali maksud Tuanku Al-Sultan itu. Di Selangor Faktor Dr. Hasan amat penting sekali. Pengikutnya di dalam Pas (yang sehaluan dengan beliau) amat besar sekali. Pengaruhnya di kalangan penjawat-penjawat awam Melayu di dalam kerajaan Selangor juga amat besar sekali.
Kedua-dua faktor itu memberi kelebihan kepada Dr. Hasan untuk melakukan perubahan. Dr. Hasan berupaya melakukan perkahwinan itu demi menegakkan kesucian agama Islam dan keutuhan umat Melayu di Selangor.
Selangor perlu diselamatkan!
Daulat Tuanku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan