PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan buku Negara Berkebajikan: Tawaran Pas
Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti berkenaan bersama-sama parti pembangkang lain sekiranya diberi peluang mentadbir negara.
Dalam buku itu, Pas memperincikan 10 agenda iaitu mewujudkan kerajaan beramanah, masyarakat penyayang, ekonomi mampan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan cekap, kebajikan langsung, keluarga harmoni, pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti dan pemeliharaan alam sekitar.
Sebelum ini, 10 agenda berkenaan telah digunakan semasa kempen pilihan raya umum 2008 dan inti pati itu turut dimasukkan ke dalam dokumen polisi pihak pembangkang yang dikenali sebagai Buku Jingga.
setelah meneliti segala inti pati terbabit sudah pasti akan tertanya-tanya apa yang 'sangat istimewa' dengan konsep negara berkebajikan yang ditawarkan oleh Pas kerana hampir keseluruhannya telah, sedang dan terus dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kenyataan yang dibuat oleh Abdul Hadi bahawa konsep negara berkebajikan parti itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran secara tidak langsung memperakui bahawa segala apa yang telah dibuat oleh kerajaan BN selama ini adalah selaras dengan ajaran Islam.Jika Presiden Pas mendakwa kelainan konsep negara berkebajikan yang ditawarkan parti itu adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah, ia adalah tidak benar kerana langkah itu juga sudah dibuat oleh kerajaan BN.
Mengulas isu sama, penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, perincian konsep negara berkebajikan oleh Pas kelmarin jelas memperlihatkan parti itu semakin terhakis pegangannya kepada prinsip menegakkan negara Islam yang berteraskan al-Quran dan bersendikan sunah nabi.
''Tiada lagi inferens kepada perlembagaan Madinah dan landasan al-Quran sebagai Perlembagaan negara dalam buku tersebut dan hudud yang suatu ketika dahulu menjadi jajaan Pas nampaknya sudah 'disunyikan' sebagai tanda akur kepada bantahan DAP,'' katanya.
Beliau yang merupakan bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, 10 agenda yang diketengahkan itu bukanlah sesuatu yang baru atau inovatif yang layak mendapat penarafan alternatif kepada apa yang ditawarkan oleh kerajaan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan