Lidah Rasmi PAS Dakwa Harga Minyak Naik Sebab Krisis Mesir.
Harga minyak naik sedikit dalam dagangan di Asia akibat kebimbangan
akan menularnya krisis di Mesir ke negara-negara Timur Tengah lain
sehingga menyebabkan bekalan disekat.
Dagangan di West Texas Intermediate di New York naik AS$0.04 (13
sen) menjadikan harganya AS$107.50 untuk penghantaran September dalam
dagangan pertengahan pagi.
Dagangan minyak mentah di Brent North Sea untuk penghantaran Oktober juga naik AS$0.04 menjadikan harganya AS$110.44.
“Harga minyak terus dipengaruhi oleh situasi di Mesir dengan
kebimbangan ia boleh merebak ke tempat-tempat lain di Timur Tengah,” AFP
memetik Desmond Chua, penganalisis pasaran di CMC Markets di Singapura.
“Masih terdapat kebimbangan terhadap bekalan yang melalui Terusan Suez dan saluran minyak Sumed,” katanya.
Krisis berdarah di Mesir telah pun mengorbankan sehingga 800 orang
dalam masa lima hari, menurut angka rasmi, di mana semalam sahaja 36
orang tahanan dilaporkan terbunuh di dalam apa yang didakwa oleh
kerajaan yang merampas kuasa sebagai percubaan untuk melarikan diri dari
penjara.
Kerajaan yang merampas kuasa semakin meningkatkan tekanan dan
keganasan ke atas penyokong-penyokong presiden yang digulingkan, Mohamed
Morsi.
Pertumpahan darah di Mesir itu menyebabkan kecaman meluas di
peringkat antarabangsa, di mana diplomat-diplomat kanan Kesatuan Eropah
(EU) memutuskan untuk mengadakan pertemuan tergempar untuk membincangkan
keadaan yang berlaku dan rancangan EU seterusnya.
Walaupun Mesir bukan pengeluar utama minyak, para pedagang bimbang
kejadian yang semakin meruncing di negara itu akan menjejaskan laluan
bekalan minyak di Terusan Suez dan saluran minyak Sumed, yang menjadi
penghubung antara Eropah dan pengeluar-pengeluar minyak di negara-negara
Teluk.
Terusan Suez menjadi laluan kepada kapal-kapal yang membawa
kira-kira 2.5 juta tong minyak sehari, iaitu 2.7 peratus dari bekalan
sedunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan