Aku menemani Ustaz Azizan di KMC setelah beberapa hari tak bertemu
kerana urusan kempen pilihanraya. Beberapa kali dia berpesan kepada
rakan-rakan untuk menghubungi aku yang agak sibuk melaksanakan
tanggungjawab sebagai Pengarah MTD DUN Jeneri (aku adalah Timbalan
Pengarah 1 sebelumnya, terpaksa memangku pengarah yang dilantik sebagai
wakil calon). Kami hanya berhubung melalui telefon. Dia foward beberapa
sms dan nombor telefon yang memaki hamunnya sebelum dan selepas
calon-calon dimuktamadkan. Aku ber istighfar dan meminta dia terus
bersabar. Dia sudah buat yang terbaik untuk negeri, rakyat Kedah dan
parti. Tak ada apa perlu dikesalkan.
Beberapa kali dia merungut... "Depa tak mau dengar cakap kita dah.
Susunan dan cadangan kita diredah tanpa merujuk kepada kita lagi. Semua
orang boleh membuat keputusan untuk PAS Kedah. Kita di Perhubungan
Negeri sudah tak ada kuasa apa- apa. Pesuruhjaya ada ramai di Kedah ni".
Saya hanya mendengar dan menyelami keresahannya. Seorang Pesuruhjaya
tanpa kuasa di saat keputusan-keputusan besar perlu dilakukan.
Ramai orang lama PAS Kedah datang dengan rombongan mereka dari kawasan
-kawasan untuk memohon dikekalkan atau diganti calon-calon tertentu
dengan alasan yang tersendiri, Ustaz Azizan sudah letih melayani.
Katanya" Hampa kata hampa, yang aku cadang pun depa buang, depa langgaq
ikut suka depa, nak suruh aku pertahan hak hampa cadang lagu mana. Hampa
pi lah ke pejabat agong, aku sudah tak buleh buat apa-apa."
Setelah keputusan PRU diumumkan, barulah saya berkesempatan bertemu
dengannya, itupun dia sudah di KMC, mengadu sakit kaki dan demam. Kali
pertama mengunjunginya pada Isnin, dia sedang menjalani prosedur rawatan
di ICU, saya pulang jam 6 petang, setelah menunggu 2 jam. Salur darah
di kakinya tersumbat.
Esoknya, saya dimaklumkan oleh anaknya Mohamad Rafie, ayahnya mungkin
dirujuk ke IJN dengan kondisi kesihatannya yang tidak didedahkan. Saya
masuk menemui Azizan di ICU KMC jam 2 petang, dia mengalirkan air mata
setelah saya mencium tangannya yang sedang terbaring. Saya tak mampu
menahan lelehan airmata yang makin laju. "Sik macam mana dah? Aku tau
hang pulun nak bagi menang jugak, tapi ni semua takdir Allah. Kita
terlepas satu beban yang sangat besar. Hang bayangkan kalau kita menang,
dan aku ada dalam wad, tentu kacau bilau lebih besaq daripada awal 2012
hari tu". "Tak pa lah Ustaz, tok sah dok pikiaq pasai politik lagi,
kita berubat bagi lega dulu". Aku jawab perlahan memujuknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan