KENYATAAN AKHBAR
Tarikh : 10 Oktober 2013 Masa : 9.00 pagi Tempat : Sunway Hotel, Seberang Perai, Pulau Pinang
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
Terima kasih di atas kesudian rakan-rakan media untuk hadir ke sidang media hari ini.
Sidang media ini diadakan dengan tujuan untuk menyatakan pendirian saya
mengenai isu penghinaan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua ke atas Pendaftar
Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan Malaysia.
Anjing Yang Setia
Tony Pua mungkin tersilap merujuk gelaran "anjing" kepada ROS dan akhbar
Utusan Malaysia itu, yang sebenarnya ditujukan kepada dirinya sendiri
kerana beliau dilihat begitu setia dan konsisten ‘menyalak' demi
mempertahankan tuannya dalam parti DAP.
Sebagai graduan salah sebuah universiti tersohor di dunia, adalah agak
meragukan sekiranya Tony Pua tidak faham punca sebenar (root cause)
tentang isu pemilihan CEC berbanding dengan pemikiran seekor anjing.
Untuk makluman semua, yang buat pemilihan CEC adalah parti DAP, yang
tidak menghantar surat jemputan kepada perwakilan adalah di kalangan
pengurusan tertinggi DAP, yang tidak tahu menggunakan perisian Microsoft
Excel adalah juga di kalangan pengurusan DAP dan yang paling penting
aduan yang dibuat kepada ROS adalah dari kalangan ahli-ahli DAP
sendiri.
Justeru itu, mengelarkan ROS dan Utusan Malaysia sebagai ‘anjing' UMNO
dan mengaitkan ketiga-tiganya adalah satu perbuatan yang bertentangan
dengan logik akal manusia. Ini berbeza dengan tabiat dan pemikiran
seekor anjing yang pasti akan menyalak setiap kali tetamu datang ke
rumah tuannya, walaupun sebenarnya tetamu tersebut adalah daripada
kalangan saudara terdekat tuannya.
Perlu diingat UMNO dahulu pun pernah diharamkan ROS pada tahun 1988. Ini
menunjukkan kewibawaan dan profesionalisma ROS dalam menjalankan
tugasnya memantau pertubuhan-pertubuhan termasuk DAP juga.
("Maybe Oxford grads are just good to be barking dogs", which I believe it is not true)
Kesimpulan
Saya secara peribadi serta mewakili rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO
dari seluruh pelusuk tanahair ingin mengucapkan syabas dan tahniah
kepada pihak ROS yang telah menjalankan tugas mereka berdasarkan
aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP. Ini menunjukkan bahawa
walaupun sebagai agensi kerajaan di bawah pentadbiran parti Barisan
Nasional yang ditunjangi UMNO, ROS tidak memilih bulu dalam melaksanakan
tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun
aduan-aduan tersebut dibuat oleh ahli-ahli parti pembangkang sekaligus
menunjukkan ketelusan, kepercayaan dan kebergantungan rakyat kepada
agensi kerajaan yang selama ini dilabelkan dengan pelbagai persepsi
negatif.
Kami juga ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada akhbar
Utusan Malaysia yang berterusan melaksanakan tanggungjawab sosialnya
dalam membawa suara akar umbi ahli DAP yang mahukan satu proses
pemilihan parti DAP dijalankan secara telus, walaupun selama ini Utusan
Malaysia seringkali dikaitkan sebagai milik parti UMNO dan hanya membawa
suara orang Melayu sehingga dituduh sebagai akhbar bersifat rasis. Kini
terbukti tuduhan tersebut tidak benar kerana Utusan juga menjadi
penyambung lidah dan keluh kesah ahli-ahli akar umbi DAP yang
majoritinya bukan Melayu.
Sebagai seorang ahli UMNO, sebuah parti yang meletakkan kesucian agama
Islam sebagai salah satu asas penting dalam penubuhan dan
perlembagaannya, saya mendesak Tony Pua memohon maaf secara terbuka
kepada seluruh ahli UMNO, kakitangan ROS dan kakitangan Utusan Malaysia
di atas tindakannya yang begitu biadap dan celupar sehingga melangkaui
batas serta nilai-nilai murni kehidupan masyarakat yang selama ini hidup
harmoni dan memahami serta menghormati pegangan agama masing-masing
serta sensitiviti antara pelbagai kaum.
AKHIR SEKALI, SAYA INGIN MENGESYORKAN AGAR SETIAUSAHA AGUNG DAP, DATUK
LIM GUAN ENG, MELETAK JAWATAN ATAS KEGAGALANNYA MENTADBIR DAP
SEHINGGAKAN MENGAKIBATKAN DAP KINI DI AMBANG PEMBATALAN PENDAFTARANNYA.
MUNGKIN TUGAS DATUK LIM SEBAGAI KETUA MENTERI PULAU PINANG TERLALU BERAT
UNTUK DIPIKUL BERSAMA DENGAN TUGAS SETIAUSAHA AGUNG PARTI DAP,
WALLAHUALAM PUNCA KEGAGALANNYA, TETAPI JANGANLAH BIARKAN PEMIMPIN PARTI
DAP LAIN MENJADI MANGSA SEMATA-MATA UNTUK MENUTUP KECACATAN PERLAKSANAAN
TANGGUNGJAWAB DATUK LIM SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG DAP.
"Demi Agama, Bangsa dan Tanahair"
Yang Ikhlas,
AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN SANUSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan