KUALA TERENGGANU 29 Dis. -
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, kerajaan negara
ini amat sukar untuk digulingkan mana-mana pihak apatah lagi proses
rampasan kuasa itu berlaku secara kekerasan dan huru-hara.
Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada dan juga akan
datang merupakan pemerintah yang cukup teguh dengan kekuatan pasukan
keselamatan yang sentiasa mantap dan cekap.
"Atas sebab itu saya masih berpendapat bahawa tidak mudah untuk
gulingkan kerajaan (Malaysia) dan saya juga berpendapat lambat lagi nak
berlaku macam itu (guling kerajaan).
"Malah saya juga tak fikir akan berlaku keadaan huru-hara pada
himpunan itu nanti (Himpunan Guling Kerajaan)," katanya ketika dihubungi
di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai desakan pelbagai pihak yang kian memuncak
membantah Himpunan Guling Kerajaan pada malam sambutan tahun baharu di
Dataran Merdeka Selasa ini.
Semalam, polis mendedahkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
propembangkang sebagai dalang utama merancang mengadakan himpunan itu
bagi menimbulkan huru-hara semasa sambutan ambang tahun baharu tersebut.
Harun tidak menolak kemungkinan berlaku kekecohan dan huru-hara pada
malam sambutan itu nanti sekiranya pihak kerajaan sendiri melakukan
kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
"Kata nak guling kerajaan itu sebenarnya pihak kerajaan cakap saja,
tapi kalau kerajaan bertindak luar biasa mungkin juga berlaku
huru-hara," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa himpunan itu diadakan bukan bertujuan
menimbulkan huru-hara dan untuk menggulingkan kerajaan seperti mana
didakwa banyak pihak.
Sebaliknya kata Harun, perhimpunan ini sekadar untuk menyatakan rasa
tidak puas hati rakyat terhadap dasar kerajaan terutama berkaitan isu
kenaikan harga barang, cukai dan sebagainya sehingga membebankan mereka.
"Hanya mereka yang berani cakap saja yang akan bersuara dalam
himpunan itu sedangkan kerajaan tak susah apa pun dengan kenaikan harga
barang sebab mereka ada pendapatan tetap.
"Kalau Selangor lainlah sebab wakil-wakil rakyatnya naik gaji, tak apalah," katanya berseloroh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan