Dewan Ulama Pas hari ini menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Puchong,
Gobind Singh Deo yang menuding jari kepada hudud sebagai punca kekalahan
calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud di Parlimen Teluk Intan sebagai satu
penghinaan kepada perjuangan parti itu.
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad
menegaskan, dakwaan itu adalah tidak adil sama sekali serta tidak
menghormati dan menghargai sumbangan ahliahli Pas yang bertungkuslumus
membantu DAP pada pilihan raya kecil (PRK) tersebut.
"Memang mudah menuding jari kalau kalah namun DAP sudah menang di Bukit
Gelugor, kenapa tidak salahkan hudud? Oleh itu, kenyataan Gobind ini
adalah tidak adil, tidak hormati dan menghargai sumbangan ahliahli Pas
yang bertungkuslumus membantu di Teluk Intan.
"Tindakan ini menghina perjuangan Pas kerana hudud adalah salah satu
perjuangan kita. Dia (Gobind) boleh cakap ‘setuju untuk tidak setuju’,
tidak setuju tak mengapa tetapi jangan menentang (hudud).
"Ada juga tindakan mereka lakukan yang kita tidak setuju macam pilihan
raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kita tidak setuju tapi tak bising
pun. Jadi janganlah begini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gobind yang dilaporkan berkata, pendirian Pas
yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan menyebabkan berlaku protes
secara senyap terhadap pembangkang sehingga membawa kepada kekalahan
Dyana Sofya.
Menurut Gobind, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong hudud
kerana mereka berpandangan Malaysia merupakan sebuah negara sekular.
Mengulas lanjut, Mahfodz yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor memberitahu,
kekalahan DAP tersebut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain
termasuk imej Dyana Sofya yang muda dan bukan orang tempatan berbanding
lawannya, Datuk Mah Siew Keong yang berpengalaman, seorang anak tempatan
dan dijanjikan jawatan menteri.
"Selain itu faktor protes senyap, penyusutan pengundi dari 80 peratus
kepada lebih 60 peratus dan sebagainya. Namun, saya tidak boleh menerima
alasan bahawa kekalahan di Teluk Intan disebabkan hudud," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata,
Gobind tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia kelihatan
angkuh dan tidak menerima hakikat selain tindakan tersebut turut
melukakan perasaan pimpinan dan ahli Pas yang bekerja keras membantu
jentera pembangkang yang diwakili oleh DAP di Teluk Intan.
"Pas berusaha membuktikan semangat setia kawan lalu menghantar pimpinan
dan petugas parti membantu dengan segala pengorbanan tenaga, masa dan
wang ringgit termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri
turut turun membantu.
"Kami dari Pahang juga memperuntukkan sejumlah wang yang agak besar bagi
menghantar tenaga secara syif bertugas di Teluk Intan. Saya yakin
negeri lain juga memberikan komitmen yang tinggi untuk memenangkan
pembangkang yang diwakili DAP di Teluk Intan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan