ALOR SETAR 18 Ogos – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah (gambar ) bertitah, negara akan berhadapan dengan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik.
Baginda khuatir tamadun dan kemerdekaan akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.
Titah baginda, perkara-perkara yang terkandung dalam kontrak sosial sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan sesuatu yang dianggap suci dan tidak harus dipersoalkan bagi menjamin kerukunan negara.
‘‘Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara.
‘‘Kontrak sosial tidak wajar dipertikaikan, apatah lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan negara ini yang menjadikan rakyat pelbagai kaum hidup aman dan damai,’’ titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan peringkat negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah menyampaikan ceramah pada seminar khas berkenaan yang dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan serta ahli-ahli politik di Kedah.
Titah baginda, sejak kebelakangan ini keharmonian yang wujud sekian lama mula terjejas ekoran adanya pihak tertentu yang berani mempertikaikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tuanku Abdul Halim bertitah, pertikaian tersebut telah menimbulkan rasa marah di kalangan pemimpin Melayu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Baginda bertitah, antara sebab yang dikenal pasti berlakunya pertikaian mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah kedangkalan pihak-pihak tertentu terhadap latar belakang sejarah mengapa ia dimaktubkan.
Selain itu, titah baginda, ia juga disebabkan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diaplikasikan di negara ini tanpa bertunjangkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara.
“Situasi ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada ketegangan kaum,’’ titah baginda.
Justeru Sultan Kedah menasihatkan semua pihak khususnya ahli politik, pegawai kerajaan dan rakyat supaya memandang serius serta mengambil iktibar mengenai perkara itu.
Baginda mahu pembuat dasar kerajaan memahami dengan jelas Perlembagaan Persekutuan supaya kepentingan kaum-kaum lain di negara ini terjamin dan terus menikmati hak mereka sebagai warga negara.
Titah baginda, keamanan yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.
‘‘Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.
‘‘Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum lain.
“Oleh itu, tidak wajar kontrak ini dipertikai, disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia,’’ titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan