PENDAFTAR Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman masih seperti penampilannya semasa di Jabatan Imigresen dahulu suka berterus terang.
Meskipun kenyataan yang dikeluarkan beliau pahit untuk ditelan pihak tertentu namun itulah fakta yang dipegang oleh bekas Ketua Pengarah Imigresen itu.
Abdul Rahman mengulas mengenai dakwaan pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PKR dan Pas baru-baru ini bahawa mereka mengesyaki terdapat ‘muslihat politik’ apabila ROS enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti.
Bagi Abdul Rahman, adalah penting untuk ROS menjelaskan kedudukan sebenar isu ini setelah begitu bersungguh-sungguh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Pemuda DAP,
Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli menyerang ROS pada satu sidang akhbar di lobi Parlimen 3 November lalu.
ABDUL RAHMAN: Realitinya ke arah sistem dua parti ini bermakna BN dianggotai 14 parti dan pakatan pembangkang disertai tiga parti iaitu DAP, PKR dan Pas. Cuma pembangkang di negara ini belum buat sebarang pendirian kepada sistem dua parti ini.
Sistem ini ada baik dan buruknya. Kalau bercakap tentang sistem ini, ia hanya ada di Amerika Syarikat iaitu Demokrat atau Republikan. Kalau pergi ke United Kingdom, Singapura atau Indonesia pun tidak ada sistem ini. Yang ada, hanyalah banyak parti dan buat gabungan semasa berlangsungnya pilihan raya sahaja.
Pilihan raya seterusnya, mereka buat gabungan lain pula. Ramai sarjana politik kata demokrasi masih baru di Malaysia. Dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula kata pakatan perlu mendaftar dengan ROS sebagai satu entiti politik.
Ini kerana mereka selalu dilihat melanggar peraturan kempen pilihan raya, terutama berhubung isu penggunaan logo. Logo parti yang tidak bertanding dilarang dipasang atau digunakan untuk berkempen kerana ia menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pembangkang kata terdapat muslihat politik apabila ROS enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka menjadi satu parti.
Mereka ini (pakatan pembangkang) tidak bersungguh-sungguh sangat pun ke arah itu (gabungan). Yang mereka kata Datuk Zaid Ibrahim (bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR) hantar permohonan tu tidak ada apa-apa pun.
Dia (Saifuddin) sendiri pun tak faham bahawa bila Datuk Zaid tidak lagi jadi ahli PKR (pada 14 November 2010 setelah umumkan keluar daripada PKR) dan tidak ada kedudukan lagi dalam parti itu, maka permohonan itu terbatal dengan sendirinya.
Bila tak faham, dia bising pada press (surat khabar). ROS tak boleh bagi kelulusan sebab individu yang memohon (untuk dibentuk gabungan) itu sudah meletak jawatan.
Cuma kita akui, ‘buruknya ROS’ sebab kita tak nasihatkan dia (pakatan pembangkang) dalam keadaan dia tak faham bahawa apabila Datuk Zaid keluar sahaja, kedudukan permohonan itu sudah menjadi tiga kedudukan.
Maksudnya yang pertama ialah kalau kita luluskan, kita sebenarnya luluskan kepada Datuk Zaid kerana dialah pemohon. Ini bermakna, kelulusan kepada Datuk Zaid tetapi kalau kita bagi, jadi bodohlah kita sebab kita tahu dia bukan lagi ahli PKR.
Yang kedua, kita tolak sahaja permohonan itu. Tetapi bila tolak nanti, pembangkang akan kata ‘kami nak buat rayuan pada menteri’. Sedangkang realitinya, permohonan itu sudah tidak ada locus standi.
Kepada pakatan pembangkang ini ialah semuanya buruk ROS sebab tak luluskan permohonan mereka namun hakikatnya Saifuddin, Dr. Hatta dan Anthony masih bicarakan berkisar permohonannya yang dahulu.
Agaknya motif apa pembangkang berbuat begitu?
Dia dok bising sebab saya tak luluskan. Yang saya pula tak luluskan sebab tidak ada apa yang saya nak luluskan sebab pemohon itu sudah tidak ada dalam PKR. Mereka juga kata saya selalu main politik sebab kononnya dengan mudah pula luluskan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diketuai Datuk Zaid. KITA ini cuma ditukar nama daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan bukannya satu parti baru.
Tetapi Saifuddin mendakwa mereka sudah lantik Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar untuk teruskan usaha Datuk Zaid itu, benarkah?
Mereka ada dakwa bahawa Datuk Kamaruddin telah datang dan kononnya saya tak mahu terima. Eh! takkanlah seorang Ahli Parlimen datang saya boleh tolak macam itu sahaja. Ini cerita baru yang ditimbulkan Saifuddin. Saya sudah check dengan jabatan saya, memang tak pernah Datuk Kamaruddin datang untuk hantar permohonan yang baru.
Andai kata ada permohonan daripada pakatan pembangkang untuk bentuk gabungan seperti BN, boleh dibenarkan?
Kalau dengan gabungan tiga parti sahaja, ROS boleh luluskan. Malah, kalau nak buat parti asing-asing seperti sekarang pun tak ada masalah. PKR dengan gabungan tujuh ahli pun boleh dibentuk, inikan pula DAP, PKR dan Pas nak bentuk gabungan, silakan.
Pada pandangan Datuk kenapa mereka masih tak mahu bentuk gabungan?
Sebenarnya mereka ada masalah pada peringkat akar umbi. Masih bercakaran sesama sendiri. Kalau kita luluskan pun, mereka akan bermasalah.
Itu sebabnya mereka ‘main kat luar’ sahaja. Tambah lagi, permohonan yang pertama pun ‘dah ghaib’. Pas ke, DAP ke, PKR ke...mereka ini memang tak serius pun.
Ada kemungkinan juga sebab pembangkang di Sabah dan Sarawak tak mahu sertai mereka?
Ikutkan... di sana pun tak hebat mana pun. Contohnya parti SUPP tidak sehebat mana. Yang hebat pun katakanlah di Sarawak iaitu SNAP, tapi SNAP pun tidak boleh buat apa pun sebab sudah tujuh tahun naik turun mahkamah. Sekarang pun masih mencabar keputusan ROS.
Proses itu masih berlangsung di mahkamah dan sudah masuk tujuh tahun, tak boleh ke mana lagi. Nanti mati macam itu sahajalah. Mereka tak mahu buat parti baru tapi nak cabar di mahkamah.
Jadi, macam mana ROS nak tamatkan polemik pembangkang ini?
Kalau betul-betul berani, kemukakanlah permohonan. Kenapa nak bising-bising di luar. Saya sudah check dengan staf saya, memang Datuk Kamaruddin tak pernah datang ke ROS.
Cuma, saya persoalkan di sini, mereka (pembangkang) ini ada ramai bijak pandai dari kalangan peguam. ‘Bergasak’ sana sini dalam mahkamah. Tapi mengapa tidak buat apa-apa. Seperti sidang akhbar pada 3 November lepas, janganlah buat-buat tak faham.
Pesan saya kepada mereka walaupun politik ini isu nak dapatkan kuasa tapi janganlah kita lupa perkara-perkara asas. Ini tidak! untuk kita dapatkan kuasa, atas nama kuasa, kita bohong orang. Tak bolehlah macam itu.
biasa la puak ni asyik nak menyalahkan kerajaan je..
BalasPadamsikit2 salah umno
semuanya salah umno belaka