Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bahawa jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, parti itu akan ‘merobohkan tembok penjara’ untuk membebaskannya, menceritakan banyak perkara.
Ia dengan sendiri memberitahu pemikiran orang yang menuturkannya yakni Azmin berada pada tahap mana.
Lebih teruk apabila kita melihatnya dari aspek perundangan – apakah kenyataan sebegitu membantu mendaulatkan undang-undang negara? Jika itu pegangan Azmin dan itu juga pendirian PKR, amatlah malang kepada mereka yang memberi sokongan kepada Azmin dan parti tersebut.
Apa yang jelas, kenyataan itu bertitik tolak daripada keangkuhan berpolitik Azmin sehingga membuatkannya melanggar apa sahaja demi kepuasan hati yang bagi Awang beliau terlalu banyak bernaung di bawah ketua pembangkang tersebut.
Semua sedia maklum, perbicaraan kes liwat Anwar sudah berada pada peringkat akhir dan Mahkamah Tinggi. Biarlah orang yang arif membuat keputusan. Sama ada Azmin atau sesiapa sahaja, terimalah apa juga keputusan mahkamah kelak.
Dalam apa juga percaturan kita, tanpa mengira bidang apa sekalipun, janganlah kita mudah hilang arah dan pedoman dalam kehidupan bernegara.
Negara kita mempunyai undang- undang dan siapa lagi yang bertanggungjawab mendaulatkannya jika bukan kita selaku rakyat! Dan, semua orang tertakluk kepada undang-undang negara ini dan ia perlu dihormati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan